Isu Panas

‘Tun M, Bersatu Parti Baharu Tetapi Produk Lama’

KOTA BHARU – Gimik politik Tun Mahathir dilihat berjaya menawan hati pengundi terutamanya golongan muda, bagaimanapun mereka kini mula menyedari bahawa produk lama tidak akan berjaya menarik perhatian dan mempengaruhi tingkah laku mereka.

Penganalisis politik, Suhaimee Sahar berkata, apa yang penting adalah parti pemerintah perlu sentiasa mendekati golongan muda ini tanpa jemu dan memenuhi aspirasi mereka dalam melihat Malaysia terus berjaya.

Menurutnya, bagi menghadapi bahang PRU yang akan datang, setiap parti politik cuba memasarkan idea-idea baharu bagi memastikan kelangsungan parti mereka.

“Ini tidak terkecuali dengan Parti Bersatu yang sedaya upaya memasarkan parti baharu mereka sedangkan umum mengetahui bahawa produk lama yang mereka cuba pasarkan mendominasi parti mereka,” katanya.

Menurutnya, gelombang pertama Bersatu yang diketuai Mahathir bermula dengan menggunakan isu-isu seperti 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selain cuba menyembunyikan isu-isu besar yang pernah dihadapi negara ini semasa pentadbiran beliau.

Beliau berkata, pendekatan pemasaran hitam (black marketing) seperti ini lazim digunakan oleh parti baru untuk menembusi pasaran politik yang sedia ada dan mereka akan memilih kawasan-kawasan yang kritikal bagi mewujudkan keresahan dan ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Rakyat-rakyat tersebut adalah khalayak yang mendapat maklumat separa kesan daripada teknologi komunikasi dan kelemahan yang timbul ini memberi kesempatan kepada mereka bukan sahaja untuk menembusi malahan menguasai kawasan tersebut dengan mewujudkan sentimen pasaran baharu.

“Kita sedari bahawa Tun M mempunyai kelebihan tertentu sebagai ahli pemasaran politik yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam semua selok-belok landskap politik negara ini.

“Dalam aspek media, beliau juga berjaya menarik perhatian media dan menjadikan beliau sebagai selebriti media yang mampu menarik minat semua khalayak masyarakat dengan mengetepikan segala isu yang pernah berlaku ke atas beliau sebelum ini.

“Namun begitu, sejauh mana Tun M dapat melangkah dengan sentimen ‘parti baru, produk lama’ yang tidak dinantikan oleh golongan muda, sedangkan golongan muda ini yang akan menentukan kelangsungan politik Bersatu secara tidak langsungnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");