shadow

IPOH: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai tindakan pembatalan cadangan kepada pembinaan Hospital Kampar yang baharu seperti yang telah diperjelaskan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri S.Subramaniam pada sesi persidangan Parlimen 25 Julai lalu.

Ahli Parlimen Kampar, Dr. Ko Chung Sen berkata, tindakan itu telah mengecewakan rakyat di Kampar yang mana pembinaan satu hospital baru dikawasan tersebut merupakan satu keperluan kepada penduduk sekitarnya apabila hospital sedia ada masih terhad dari segi kemudahan dan pakarnya.

“Sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tanda menunjukkan hospital tersebut akan dibina.Saya telah bertanya kepada Menteri Kesihatan apa yang terjadi dengan projek itu dan peruntukan RM150 juta yang telah diluluskan pada tahun 2012.

“Pada 5 Mac 2014, jemaah Menteri telah membatalkan cadangan tersebut dan memutuskan agar projek tersebut dilaksanakan mengguna peruntukan pembangunan Kerajaan berfasa di bawah Rancangan Malaysia ke-11,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan menteri, projek tersebut tidak diteruskan setelah mengambil kira berkaitan kapasiti 150 katil di Bandar Agacia, Taman Kampar Putra merupakan kawasan bekas lombong seluas 1000 ekar yang mana komposisi tanah berkenaan adalah 40 peratus tanah dan 60 peratus air iaitu memerlukan peruntukan yang tinggi bagi tujuan rawatan tanah.

Selain itu, pihak Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) telah bercadang untuk membina sebuah hospital pengajar di Daerah Kampar dan berikutan itu pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan berkenaan.

Namun penjelasan itu, sama sekali tidak dapat diterima berikutan Taman Kampar Putra mengalami kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk yang ketara.

“Pada masa yang sama sebuah kondominium 20 tingkat baru sahaja siap berhampiran kawasan tapak hospital baru dan sebuah blok apartmen 24 tingkat sedang dibina tanpa sebarang masalah,” katanya.

Jelasnya lagi, Hospital UTAR tidak akan dapat menggantikan keperluan Hospital Kampar yang baru apabila ia sehingga kini masih belum memulakan pembinaannya.

Komen & Pendapat