shadow

KANTOI… Selepas terbongkar rahsia keturunannya berasal dari India, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba berdalih dengan dakwa konon etnik negara Asia Selatan itu tidak pernah guna istilah A/L.

Dua huruf rumi itu merupakan singkatan daripada anak lelaki dalam bahasa Melayu selain juga A/P untuk anak perempuan yang lazim digunakan komuniti India Muslim atau Hindu di negara ini bagi rujukan khas nama mereka.

Ini bukan isu baharu dan bagi mereka yang lahir sebelum dekad 1990-an, dua akronim tersebut biasa dilihat ketika bergaul dengan rakan-rakan India di sekolah sebelum perlahan-lahan nama generasi selepas itu tanpa A/L atau A/P.

Malangnya fakta sejarah lama itu cuba dinafikan pula Mahathir sendiri apabila membuat helah dengan menyatakan zaman dahulu konon istilah A/L dan A/P tidak digunakan masyarakat berketurunan India Muslim di negara ini.

Mahathir malah mencabar Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bongkar identitinya itu baru-baru ini agar ditunjukkan kad pengenalan versi sebelum Mykad tersebut.

Ini kerana Ahmad Zahid semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, Selangor pada Ahad lalu mengesahkan kad pengenalan ‘era biru’ bekas perdana menteri itu ada tertera nama Mahathir A/L Iskandar Kutty.

Terkejut dengan penafian Mahathir itu, seorang bekas pekerja beliau tampil bidas tulisan mantan bosnya menerusi laman blog malah menyatakan istilah A/L dan A/P pernah meluas digunakan oleh kaum India Muslim di negara ini.

Abdul Hameed B. Gulamaideen dalam satu kenyataan media turut menyertakan bukti beberapa dokumen rasmi di Malaysia yang pernah menggunakan istilah A/L untuk anak lelaki dan bukannya bin atau binti pada zaman dahulu.

Beliau mengemukakan salinan buku akaun bank dan beberapa dokumen rasmi miliknya sebagai berketurunan India Muslim atau lazim disebut sebagai golongan mamak itu yang dengan jelas ada memaparkan cetakan tulisan A/L.

“Kita mempunyai bukti bahawa Mahathir berbohong dalam blognya kerana ada dokumen rasmi di negara ini suatu ketika dahulu menggunakan istilah ‘anak lelaki’ seperti ini untuk mereka yang berasal daripada keturunan mamak.

“Saya keliru dan pelik kenapa Mahathir begitu ‘jijik’ untuk mengakui bahawa beliau memang adalah mamak dan namanya dulu ada menggunakan istilah itu seperti yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri,” kata beliau.

Lelaki itu yang mesra dikenali dengan panggilan Mamu Hameed berkata, banyak dokumen tertera nama dirinya Abdul Hameed A/L Gula Maideen, nama yang memang menggambarkan asal keturunan mamak di negara ini.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa Mahathir dalam isu yang mudah berkaitan istilah A/L ini pun secara terang membuktikan sebagai seorang pembohong besar sekali gus tidak lagi layak untuk dipercayai oleh rakyat Malaysia.

Abdul Hameed pernah mengadakan sidang media bagi memberi amaran kepada Mahathir berhenti menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1Malaysia Development Berhad atau rahsia beliau akan didedah.

Dalam pada itu, Mamu Hameed turut mempersoalkan kenapa Mahathir hendak kait isu lain tiada kena mengena dengan hal nama ini walhal Ahmad Zahid hanya mendedahkan nama sebenarnya Mahathir A/L Iskandar Kutty.

Malah Abdul Hameed kemudian mempersoalkan tindakan dramatik Mahathir secara tiba-tiba pula mengungkit semula kisah harta RM230 juta yang konon dikatakan gagal dijelaskan oleh Ahmad Zahid suatu masa dahulu.

“Jangan pusing cerita, kenapa susah mahu mengaku nama sendiri, apa hendak malu keturunan mamak. Tukar topik pula dan tuduh Zahid ada wang sebegitu rupa tidak patut dilakukan oleh pemimpin seperti Mahathir,” katanya.

Pendedahan nama Mahathir itu menggemparkan seluruh negara kerana kebanyakan rakyat sebelum ini tidak tahu bahawa Mahathir sebenarnya adalah berketurunan mamak yang datang dari Kerala. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Komen & Pendapat