Sukan Hari Ini

Dendam 18 Tahun Terlerai, Harimau Malaysia Bangkit Baham Singa Muda

SHAH ALAM: Dendam yang terbuku selama lebih 18 tahun akhirnya dilunaskan juga oleh barisan pemain Bawah 22 Tahun (B22) Malaysia apabila bangkit untuk menundukkan Singapura dalam acara bola sepak Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini, pada Rabu.

Dua jaringan pemain gantian sudah cukup membuktikan ketajaman ‘taring’ anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk menambah derita Singapura yang sebelum ini tewas kepada Myanmar, Isnin lalu.

Kim Swee melakukan rombakan seramai enam pemain dengan hanya mengekalkan Matthew Thomas Davies, Muhammad Adib Zainuddin, Muhammad Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan Muhammad Irfan Zakaria.

Ternyata percaturan Kim Swee menggandingkan Mohammad Syamer Kutty Abba dan Muhamad Amirul Hisyam Awang Kechik kurang berkesan di bahagian tengah yang tampak longgar dan lebih banyak dikuasai Singapura.

Perlawanan nampak seimbang pada 30 minit pertama tetapi Malaysia lebih banyak melakukan percubaan berbahaya terutamanya menerusi Safawi pada minit kesembilan apabila rembatan kaki kirinya dari luar kotak penalti diselamatkan penjaga gol Singapura, Muhammad Zharfan Rohaizad.

Namun Singapura terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-33 apabila percubaan pemain tengahnya, Muhammad Amiruldin Muhammad Nddin dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Muhammad Haziq Nadzli.

Malaysia cuba mencari gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama tetapi sepakan percuma Safawi sekadar singgah di palang gol Singapura.

Aksi kedua menyaksikan Malaysia mengasak sebaik wisel dibunyikan selepas Kim Swee melakukan pertukaran dengan memasukkan Muhammad Nur Azam Abdul Azih dan Thanabalan Nadarajah menggantikan Irfan dan Amirul Hisyam.

Kemasukan Nor Azam ternyata mengubah rentak permainan Malaysia apabila menguasai kembali bahagian tengah sekali gus memudahkan skuad negara menguasai hampir keseluruhan separuh masa kedua.Malaysia terpaksa menunggu minit ke-68 untuk menyamakan kedudukan menerusi Nor Azam yang melakukan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Zharfan.

Gol tersebut ternyata memberi suntikan semangat untuk anak buah Kim Swee apabila menggandakan serangan bagi memburu gol kedua.

Ternyata percaturan Kim Swee membawa masuk Thanabalan membuahkan hasil apabila penyerang gantian itu menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke-74 hasil situasi kelam kabut di hadapan gol Singapura.

Keputusan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan tersebut melonjakkan Malaysia ke tangga teratas Kumpulan A dengan mengumpul enam mata.

Lebih manis lagi, Malaysia kini melebarkan jumlah kemenangan kepada 31, seri sebanyak 21 kali dan tewas 21 kali berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam semua peringkat perlawanan.

Bagi rekod pertemuan dalam temasya Sukan SEA, ini merupakan pertemuan kesembilan antara Malaysia dan Singapura, dan kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung di peringkat kumpulan, Malaysia tewas 1-2 di Brunei pada 31 Julai 1999.

Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir kejohanan tersebut selepas sekadar menduduki tangga ketiga.

Kedua-dua pasukan bertemu kembali pada Sukan SEA 2013 di Myanmar untuk penentuan pingat gangsa, tetapi Malaysia tewas 1-2.

Malaysia akan berdepan Myanmar pada Isnin depan untuk mara ke pusingan separuh akhir pada 26 Ogos nanti jika melakar kemenangan ketiga.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");