Membawang Hari Ini

Ewal Jadi Guru Vokal

TIDAK hanya memenuhi rutin hariannya dengan aktiviti seni, penyanyi Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 25, kini turut sibuk sebagai guru vokal dan seni persembahan.

Sejak Februari lalu Ewal memulakan tugasnya di Suara Akademi, pusat muzik milik penyanyi Mark Adam yang melahirkan ramai bakat baru.

Ewal juga tidak menolak kemungkinan untuk lebih serius sebagai tenaga pengajar selepas ini.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu, sebelum ini pun saya pernah menjadi guru vokalsecara personal dari rumah ke rumah. Jadi apabila mendapat tawaran daripada Mark Adam, saya terus terima tanpa banyak soal,” akuinya jujur.

Bagaimana pun, menurut penyanyi yang pernah mengharumkan nama negara menerusi pertandingan World Championship of Performing Art (WCOPA) ini, penglibatannya sebagai tenaga pengajar di akademi tersebut bukan kerana tidak laku sebagai penyanyi, namun lebih kepada minatnya dalam muzik dan membantu mereka yang mahu mencari ilmu.

“Saya tidak pernah menganggap diri bagus untuk mengajar orang lain, tetapi ia lebih sebagai perkongsian pengalaman dan ilmu yang saya ada.

“Sepanjang enam bulan mengajar mereka di kelas, saya rasa cukup seronok apatah lagi melihat mereka yang mengikuti kelas ini menunjukkan peningkatan positif,” katanya dipetik dari laman portal sinar harian.

Tidak sekadar itu, Ewal turut berkongsi permintaan beberapa rakan artis termasuk artis senior yang mahu menggunakan khidmatnya sebagai jurulatih vokal kepada mereka.

Biarpun pada mulanya terkejut dengan permintaan itu, Ewal yang juga anak kepada penyanyi rock, Mel (bekas vokalis Wings) tidak keberatan untuk berbuat demikian percaya itu sebagai satu penghargaan dan keyakinan dengan saya.

“Jadi saya beranikan diri untuk membantu mereka dengan ilmu yang saya ada dan sama-sama berkongsi pengalaman serta idea untuk memastikan kita dapat menggerakkan industri muzik tanah air ini dengan cara yang lebih positif.

“Meski semakin aktif dengan tugas baru ini, nyanyian tetap menjadi fokus dan kerjaya utama saya kerana jiwa saya memang berada di situ,” katanya.

Tidak ikut trend

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kembalilah Semula ini juga bakal muncul dengan single terbarunya yang akan menemui peminat tidak lama lagi.

Menolak untuk beralih kepada irama muzik 90-an yang kini kembali menjadi trend muzik pilihan, Ewal tetap setia dengan genre muzik pop R&B yang menjadi kegemarannya dan tidak mahu terikut-ikut dengan orang lain atas sebab mahukan perhatian, populariti dan sebagainya kerana dia mempunyai pendirian dan lebih 15 tahun dalam bidang ini.

“Disebabkan itulah saya mengambil masa yang agak lama untuk tampil dengan single terbaru kerana mahu memastikan apa yang saya tampilkan itu adalah sesuatu yang mewakili muzik saya sendiri dan dihasilkan dengan penuh jiwa.

“Lagu Cintaku Akhir yang bakal menjadi single terbaru saya ini sebenarnya telah lama siap dirakam, cuma ia belum diperdengarkan kepada umum kerana saya mahu menunggu masa yang sesuai untuk melancarkannya,” jelasnya.

Cuba Tembusi pasaran Jepun

Tidak sekadar itu, Ewal turut berkongsi perancangannya menembusi pasaran muzik di Jepun menerusi penghasilan single yang bakal dibuat khas untuk dipasarkan di sana.

“Untuk menembusi pasaran di sana, saya harus menghasilkan single menggunakan bahasa ibunda mereka dan kini dalam usaha untuk merealisasikan perkara ini. Biarpun ia masih di peringkat awal perancangan, namun saya percaya perkara ini akan menjadi kenyataan.

“Saya tidak meletakkan sasaran masa, tetapi berharap perancangan yang dibuat berjalan lancar untuk saya realisasikan perkara itu,” katanya.

Lari daripada persoalan tentang kerjayanya, Ewal turut menyatakan sokongannya kepada acara World Quran Hour dan Merdeka Quran Hour yang bakal berlangsung pada 9 Zulhijah, bersamaan 31 Ogos ini.

“Saya melihat penganjuran acara sebegini sebagai sesuatu yang sangat baik malah memberikan manfaat yang begitu besar untuk masyarakat.

“Pada saya penganjuran acara sebegini seharusnya lebih kerap untuk memupuk lebih kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa dekat dengan al-Quran.

“Jadi sempena World Quran Hour dan Merdeka Quran Hour ini, saya mengajak rakan-rakan serta peminat semua untuk turut sama menyokong acara ini dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti berbentuk hiburan semata-mata,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");