shadow

SEORANG anggota kumpulan nasyid UNIC terlibat dalam kemalangan selepas motosikal yang dibawanya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan kira-kira jam 12 tengah hari Khamis.

Nahas yang tidak dijangka tersebut berlaku ketika Mohd. Fakhrul Radhi Khamaruddin sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor, menurut laporan pelbagai portal berita tempatan.

Menurut penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah yang mesra disapa sebagai Fakhrul itu, dia bersyukur kerana kes kemalangan tersebut tidak meragut nyawanya malah hanya mengalami patah tulang betis di bahagian kaki kanan.

“Motosikal yang saya bawa itu terbabas kerana keadaan jalan kebetulan licin akibat hujan yang baru sahaja selepas turun. Ketika itu saya sudah selesai mengacarakan program Bismillah Ad-Dhuha untuk stesen Astro Oasis.

“Benda sudah hendak berlaku, saya cuma mampu reda sahaja namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan yang serius. Hanya patah tulang betis, tangan terseliuh dan juga sedikit calar-balar di bahagian badan saya.

“Mujur kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kenderaan. Alhamdulillah saya okay, terima kasih kepada mereka yang bantu dan saya mohon peminat doakan supaya saya cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Dalam pada itu, Fakhrul, 31, juga memberitahu bahawa dia masih belum lagi dapat memastikan keberangkatannya ke Tanah Suci untuk urusan menunaikan ibadah fardu haji kerana keadaannya pada ketika ini tidak mengizinkan.

“Kalau diikutkan saya akan berangkat menunaikan ibadah haji lagi dua minggu ini namun disebabkan keadaan saya begini, kena tunggu keputusan daripada doktor terlebih dahulu,” jelasnya yang aktif bersama UNIC sejak 2009.

Fakhrul kini ditahan di Pusat Perubatan Kelana Jaya selepas mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital itu. UNIC pernah mencipta sejarah apabila muncul menjuarai Gema Gegar Vaganza musim pertama pada 21 Mei lalu.

Beliau yang juga johan program realiti stesen TV9, Akademi al-Quran musim ketiga pada 2008, berkahwin dengan pilihan hatinya bernama Syahirah serta dikurniakan dua anak, Muqri dan Waffa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Komen & Pendapat