Sukan Hari Ini

KL2017: Indonesia Masih Boleh Bertanding

KUALA LUMPUR: Indonesia tetap dibenarkan bertanding dalam acara sepak takraw Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) biarpun pasukan wanitanya menarik diri ketika aksi menentang Malaysia, semalam, berikutan tidak puas hati dengan keputusan pengadil.

Berikutan itu, Indonesia dibenarkan menghantar pasukannya untuk menyertai acara Quadron yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya juga akan memberikan sebutir pingat gangsa kepada pasukan sepak takraw wanita itu atas dasar semangat kesukanan dan menjaga hubungan baik antara negara ASEAN selari dengan semangat Sukan SEA.

Indonesia akan berkongsi pingat gangsa dengan Filipina berdasarkan format kejohanan yang tidak mempunyai perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat dalam acara regu wanita.

Bagaimanapun Abdul Halim berkata, ASTAF tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap jurulatih Indonesia yang menjadi pencetus kepada isu penarikan diri regu wanita negaranya, lapor Harian Metro.

Katanya, tindakan itu perlu berikutan bukti rakaman video yang diteliti pihaknya menunjukkan pengadil perlawanan terbabit membuat keputusan tepat membatalkan servis dilakukan tekong wanita Indonesia ketika menentang Malaysia, semalam.

“Tiada orang yang akan terlepas apabila melakukan kesalahan. Jadi kita akan mengambil tindakan sewajarnya tetapi ini semua akan ditentukan selepas kita menilai laporan dan video rakaman perlawanan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penganjur Malaysia.

“Apabila jurulatih Indonesia mengarahkan pasukan takraw wanitanya keluar dari gelanggang ketika perlawanan menentang Malaysia, maka dia sudah melakukan kesalahan mengikut peraturan 15(3) permainan sepak takraw di mana pegawai pasukan mesti menentukan setiap perlawanan berjalan lancar,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, skuad sepak takraw wanita negara meraih perak acara regu wanita pada KL2017 sekali gus mengatasi pencapaian gangsa dua tahun lalu pada aksi di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

Abdul Halim berkata, ASTAF amat sedih dengan tindakan pasukan regu wanita Indonesia menarik diri daripada perlawanan menentang Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");