Isu Panas

Kilang Haram: SPRM Serbu Pejabat Exco P.Pinang

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Serbuan melibatkan lima pegawai suruhanjaya itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Lima pegawai itu tiba di pejabat Boon Poh terletak di tingkat 53 Komtar kira-kira pukul 11.30 pagi. Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri.

Boon Poh kemudian hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini kira-kira pukul 2.45 petang. Beliau tiba bersama peguam, R.S.N Rayer.

Ia dipercayai bagi memberi keterangan berhubung serbuan SPRM ke atas sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti, Seberang Perai Tengah semalam.

Semalam, SPRM mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, Bukit Mertajam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen berkaitan kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas dikatakan tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti, Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Wakil PKR itu mendakwa banyak kilang haram dibiarkan beroperasi di sekitar Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri pimpinan DAP.

Malah sesetengah kilang itu tidak mengikut garis panduan keselamatan, selain tidak mematuhi prosedur alam sekitar ditetapkan MPSP sendiri. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");