Isu Panas

Kit Siang Dakwa Jadi Mangsa Pembohongan

KUALA LUMPUR – Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terkilan apabila terus dituduh sebagai pengkhianat dan pembohong oleh pemimpin Umno-BN.

Menurut Kit Siang, dia menjadi mangsa pembohongan, berita dan maklumat palsu, malah dituduh mencetuskan rusuhan 13 Mei 1965 dan digelar komunis.

“Sejak akhir-akhir ini, saya terus menjadi ‘subjek kegemaran’ pemimpin Umno-BN. Saya dituduh propagandist, komunis, chauvinist, ejen kuasa asing, cuba kristiankan Malaysia, terkini boneka Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu.

“Awal bulan lalu, sebuah akhbar ungkit keturunan Mahathir.

“Terbaru, saya pula dikatakan berasal dari China dan tiba di Tanah Melayu pada 1957. Atas alasan ini, saya dikatakan mahu menukar alamat mengundi ke Pulau Pinang untuk bertanding di negeri itu pada PRU14,” katanya pada sidang media, semalam dipetik dari laman portal Sinar Harian.

Kit Siang sebelum ini dikatakan berasal dari Zhangzhou, Fujian, dan datang ke Malaysia pada 1957 pada usia 16 tahun.

Baru-baru ini, ada pihak tertentu menaikkan kain rentang di kawasan Parlimen Gelang Patah bertulis Sorry, Uncle Kit Siang, we are not Rihanna, we don’t love the way you lied.

“Saya tidak kenal pun siapa Rihanna, bila melihat kain rentang itu. Siapa Rihanna?

“Tetapi mereka yang berada di sebalik perlakuan ini, saya yakin tidak berminat hendak tahu siapa pembohong sebenar, siapa di belakang skandal 1MDB, dan isu-isu besar lain yang berlaku dalam negara ketika ini,” katanya.

Sebaliknya katanya, mereka ini terus menyembunyikan perkara sebenar dan identiti mereka.

“Saya tiada masa untuk ini, sama ada perkara yang sudah lepas atau akan datang. Misi utama selamatkan Malaysia,” katanya.

Di tanya adakah beliau akan tukar alamat mengundi dan bertanding di Gelang Patah?, jawabnya, ia akan ditentukan pada hari penamaan calon nanti.

“Semasa jadi Ahli Parlimen Ipoh Barat, saya guna alamat sama. Jadi tak timbul isu perlu tukar alamat jika nak bertanding di Gelang Patah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");