Sukan Hari Ini

KL2017: Jackie Wong Pecah Rekod Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer memperbaharui rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan miliknya sendiri selepas melakukan balingan sejauh 65.90 meter (m) sekali gus memenangi pingat emas buat kontinjen negara.

Rekod temasya Sukan SEA sebelum ini dipegang atlet Filipina, Caleb Stuart dengan catatan 65.63m yang dilakukannya pada temasya dua tahun lalu di Singapura, manakala rekod kebangsaan pula 65.34m yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Korea pertengahan tahun ini.

Malah, kemenangan Jackie Wong itu juga menamatkan kemarau emas selama 16 tahun dengan kali terakhir dimenangi Wong Tee Kui pada 2001, lapor BH Online.

Pingat perak menjadi milik peserta Thailand, Kittipong Boonmawan yang mencatat 65.49m, manakala gangsa diraih wakil Filipina, Ferrera Arnil dengan balingan 55.94m.

Kejayaan atlet dari Sarawak itu membolehkan Malaysia menambah pingat emas ketiga dari acara olahraga yang baru membuka gelanggangnya semalam.

“Saya sudah berlatih selama dua tahun di bawah jurulatih Gu Yuan dan ia mengambil masa hanya lima bulan untuk memecahkan rekod kebangsaan,” kata Jackie, yang meraih gangsa pada 2011, 2013 dan 2015.

“Disebabkan Sukan SEA, dia tidak pulang ke China selama dua tahun dan saya benar-benar menghargai pengorbanannya.”

“Dan jika tidak disebabkan pesaing lain yang memaksa yang memberikan balingan terbaik hari ini, mungkin sukar untuk saya menang. Jadi saya juga berterima kasih kepada pesaing lain yang menyuntik motivasi ini sehingga membolehkan saya memenangi emas dan memecah kedua-dua rekod,” katanya.

Lebih manis, kemenangan dengan rekod baharu itu dilakukan di depan penyokong sendiri.

“Saya berbangga kerana dapat mengikut jejak langkah Tee Kui. Saya juga berterima kasih kepada ahli keluarga yang terbang dari Sarawak, pegawai dan penyokong yang datang menyaksikan saya bertanding,” katanya.

Dengan emas acara baling tukul besi itu, Malaysia kini menyamai pencapaian tiga emas dari olahraga pada temasya Singapura 2015.

“Saya harap kemenangan ini akan memberi semangat kepada atlet lain untuk terus memburu emas,” kata Jackie.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");