shadow

JOSE Mourinho percaya Manchester United sudah bersedia untuk mengekalkan purata kejayaan musim kedua menakjubkannya sebagai pengurus dengan memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Mourinho menang kejuaraan liga domestik pada hujung tahun keduanya dalam setiap lima tugas utamanya sebagai pengurus sebelum ini.

Beliau meraih pencapaian itu di FC Porto, Chelsea dua kali, Inter Milan dan Real Madrid, dengan hanya pengecualian dua daripada tugas awalnya sebagai pengurus di Benfica dan Uniao de Leiria, yang mana beliau berkhidmat tidak sampai semusim di kedua-dua kelab itu.
Mourinho tampil bagi musim keduanya di Old Trafford memerlukan peningkatan ketara dalam Liga Perdana selepas United berakhir di tangga keenam Mei lalu.

Bagaimanapun, kelab itu menang Liga Europa dan Piala Liga, memberikan pengurus itu platform untuk melakar kejayaan.

Lapor Harian Metro, keyakinan Mourinho berdasarkan tiga kepercayaan; beliau berasakan skuadnya lebih bagus berbanding kali pertama beliau tiba, mereka mempunyai pramusim lebih bagus berbanding 12 bulan lalu dan pencabar mereka di puncak divisyen mempunyai tugasan pertandingan Eropah yang mampu menjejaskan rentak kali ini.

“Apa maknanya buat saya untuk muncul juara Liga Perdana? Saya fikir ia objektif setiap pasukan utama dan setiap pengurus pasukan besar,” kata Mourinho.

“Saya tidak fikir saya akan menang kerana saya selalu menang pada musim kedua. Tidak sama sekali.

“Saya hanya terfikir secara semula jadinya, seorang pengurus pada musim kedua tahu dan mengenali pemain dan kelab.

“Saya tak kata saya memahami liga ini dengan lebih baik kerana saya sudah berada di liga ini terlalu lama.

“Kami berada dalam posisi untuk melakukan kerja berkualiti lebih baik berbanding musim pertama, jadi saya yakin musim kedua kami, dari segi kualiti pasukan akan bertambah baik.”

Komen & Pendapat