Sukan Hari Ini

Menembak: Joseph, Hasli Tewas Tipis Dalam Final

Hasrat skuad menembak negara untuk menambah pingat emas temasya KL2017 tidak kesampaian apabila atlet menembak negara, Joseph Lee Joon Kit, terpaksa akur dengan perak dalam acara skeet di Lapang Sasar Menembak Subang, sebentar tadi.

Joon Kit menampilkan aksi mantap dalam pusingan kelayakan apabila muncul penembak terbaik menerusi 118 mata yang juga rekod kelayakan kejohanan.

Penyandang juara, Jiranut Hathaichukiat, dari Thailand di tempat kedua apabila ketinggalan tiga mata.

Dalam aksi final, kedua-dua penembak itu terus bersaing sengit sehingga penentuan emas, namun tuah lebih memihak Jiranut apabila berjaya mengetepikan Joon Kit dalam tembakan penentuan untuk merangkul emas.

Gangsa milik penembak Thailand, Tanapat Jangpanich.

“Saya sangat gembira meraih pingat perak kerana ini merupakan penampilan kali pertama saya dalam Sukan SEA,” ujar Joseph.

Hasli Iswan Amir Hassan — penampilan kesembilannya dalam Sukan SEA — gagal mengulangi pencapaian emas 2001, 2005 dan 2007 dalam acara pistol 25 meter rapid fire.

Dia dibezakan satu mata dengan seteru lamanya, Minh Thanh, yang mengumpul 25 mata sementara gangsa milik atlet Thailand, Pornchai Sukhonpanich, 19 mata.

“Walaupun tidak berjaya mengulangi kejayaan 2001, tetapi saya berpuas hati dengan perak yang diraih setelah dua edisi Sukan SEA sebelum ini, acara rapid fire pistol tidak dipertandingkan.

“Hasil perbincangan saya dan persatuan untuk mempertandingkan semula acara ini, saya berbangga dengan pencapaian ini,” kata Hasli, 40.

Hasli berpendirian teguh dengan keputusan untuk tidak lagi menyertai Sukan SEA yang seterusnya dengan berkata: “Ini merupakan Sukan SEA yang terakhir buat saya. Saya mahu melihat pelapis-pelapis muda menyerlah dalam acara ini.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");