Jenayah

Penuntut Politeknik Hadapi Tujuh Tuduhan Culik, Serangan Seksual

SEREMBAN: Seorang penuntut Politeknik Port Dickson didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini, atas sembilan pertuduhan termasuk tujuh kesalahan menculik dan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang budak perempuan pada Jun dan minggu lalu.

Tertuduh, Umar Ariffin, 21, dari Bandar Springhill, Port Dickson, mengaku tidak bersalah, sejurus mendengar semua pertuduhan terbabit dikemukakan terhadapnya dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim G Ramesh dan Hakim Noor Hayati Mat.

Bagi pertuduhan pertama yang dihadapkan di hadapan Ramesh, dia didakwa menculik budak perempuan berusia sembilan tahun itu daripada jagaan bapanya di sebuah rumah di Politeknik Port Dickson pada jam 3.30 pagi pada 14 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyenasal mana 363 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, lapor BH Online.

Dalam enam pertuduhan lain di hadapan Hakim Noor Hayati, tertuduh didakwa melakukan pelbagai serangan seksual fizikal terhadap mangsa sama, di sebuah rumah di Bandar Springhill, Port Dickson dan tepi bangunan sebuah fakulti di Politeknik Port Dickson di antara jam 3 pagi sehingga 7.30 malam, pada 14 Jun sehingga 14 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan terbabit mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang setiap satu jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Prosiding pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Zahid Ahmad, M Sivam dan K Mahalakshimi.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh dibenarkan ikat jamin RM25,000 dengan syarat melapor diri di Balai Polis Lukut sekali dalam sebulan serta tidak dibenarkan menghampiri mangsa serta keluarga.

Hakim menetapkan tarikh sebutan semula kes kes itu pada 25 September depan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh sama mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu memiliki pelbagai barangan mencurigakan termasuk telefon bimbit, beg duit, pemutar skru, topi keledar serta mencuri motosikal di Bandar Springhill, pada 29 Julai hingga 15 Ogos di antara jam 5.45 petang hingga 8 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pertuduhan kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Soo Kok Weng di hadapan Majistret  KB Elena Hong Tze Lan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi dua pertuduhan itu dan menetapkan tarikh sebutan semula  kes pada 21 September depan.

Tertuduh dijamin oleh bapanya, seorang pengetua, yang hadir bersama isteri serta seorang lagi wanita, selepas mengikuti prosiding pendakwaan terhadap tertuduh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");