Berita Hari Ini

Piawaian Baharu ‘Cermin Gelap’ Mulai 2018

PUTRAJAYA: Bermula tahun depan, piawaian filem penghadang haba atau ‘cermin gelap’ akan diselaraskan menerusi satu mekanisme baharu bagi memastikan filem penghadang haba berkenaan mematuhi Standard Malaysia MS2669, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Lapor Bernama, beliau berkata Mekanisme Penyelarasan Piawaian Filem Penghadang Haba Kenderaan Bermotor itu mampu menyelesaikan isu penguatkuasaan terhadap kenderaan awam berikutan penggunaan peralatan ujian yang berbeza oleh syarikat aksesori kenderaan dan pihak berkuasa.

Beliau berkata mekanisme itu juga dapat memastikan filem yang dipasang oleh kedai aksesori kenderaan mematuhi standard ditetapkan sekali gus mengelakkan pengguna tertipu dengan produk tiruan.

“Saya yakin pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan lanjut seperti meminda mana-mana peraturan atau kaedah yang berkenaan bagi memastikan pelaksanakan penggunaan filem yang menepati piawaian MS2669 dapat berjalan dengan lancar,” katanya semasa melancarkan mekanisme itu, di sini Isnin.

Mekanisme itu dibangunkan oleh Pertubuhan Penjual Auto Audio, Aksesori dan Hawa Dingin Malaysia (AAA) dengan kerjasama JPJ, Jabatan Standard Malaysia, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Persatuan Automotif Malaysia.

Selaras dengan penggunaan mekanisme itu, Tiong Lai berkata pengusaha industri sama ada pembekal atau peruncit akan menggunakan label keselamatan kod QR pada filem penghadang haba yang dipasang pada setiap cermin kenderaan.

Melalui sistem itu, pengguna, pengusaha kedai aksesori dan pihak berkuasa boleh mengimbas kod QR bagi memeriksa sama ada filem yang dipasang memenuhi standard ditetapkan, katanya.

“Kadang kala bukan pengguna sahaja tertipu, tetapi kedai aksesori juga ditipu oleh pembekal. Dengan sistem ini, semua peringkat boleh memeriksa filem itu asli atau tiruan,” katanya.

Sementara itu, Presiden AAA Cherrie Lim Bee Choo berkata kod QR tersebut boleh diimbas melalui aplikasi telefon mudah alih “TinTrac” yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store.

Beliau berkata kod QR itu akan digunakan bermula pertengahan November ini secara berperingkat-peringkat di semua kedai aksesori yang menjadi ahli AAA, iaitu lebih 90 peratus daripada keseluruhan kedai aksesori kenderaan di negara ini.

“Hanya kedai aksesori ahli AAA yang akan mempunyai kod QR itu dan dengan mengimbas kod tersebut, semua maklumat seperti jenama filem dan material yang digunakan boleh diperolehi,” kata Bee Choo.

Katanya mekanisme itu mampu memantau dan mengesan filem penghadang haba bermula dari peringkat pengimportan, pengedaran, pemasangan dan pengendalian kepuasan pengguna sehingga ke peringkat penguatkuasaan.

Mekanisme itu dibentuk susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ berhubung operasi bersepadu secara besar-besaran yang dirancang dilancarkan pada 16 Jun 2014 lterhadap pemilik kenderaan yang menggunakan filem penghadang haba tidak menepati piawaian penembusan cahaya.

Pengumuman itu menimbulkan pertikaian kerana peralatan ujian yang digunakan oleh pihak berkuasa berbeza dengan alat yang digunakan pengusaha kedai aksesori kenderaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");