Perak Hari Ini

PKNP Pamer Keunikan Hidangan, Seni Bina Di Restoran Labu Sayong Signature

IPOH:Pembangunan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kini tampil mengetengahkan pembinaan seni bina rumah tradisional Melayu berkonsepkan Rumah Kutai bagi restoran makanan tradisional negeri ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Aminuddin Mat Desa, tiga buah rumah Kutai yang dibangunkan oleh pihak PKNP berhampiran Bulatan Amanjaya di sini bakal menjadi satu tarikan pelancongan terbaru kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Katanya, rumah tradisional sekiranya digunakan untuk tujuan operasi pameran sahaja adalah satu tindakan tidak proaktif sebaliknya konsep restoran dengan menu tradisional adalah usaha memberi nilai tambah kepada seni bina unik di rumah tersebut.

Berikutan itu, Restoran Labu Sayong Signature berkonsepkan pelbagai hidangan tradisional di negeri ini telah beroperasi sepenuhnya pada Khamis lalu.

“Rumah Kutai atau rumah tradisional negeri Perak yang bermaksud rumah lama banyak terdapat di sepanjang Sungai Perak terutama Daerah Kuala Kangsar, Perak Tengah, dan Hilir Perak serta kita menamakannya sebagai Restoran Labu Sayong Signature.

“Rumah ini adalah satu tarikan terbaru terutamanya buat pelancong antarabangsa supaya dapat melihat sendiri keunikan rumah tradisional negeri Perak tanpa perlu ke lokasi sebenar,” katanya pada majlis Perasmian Restoran Sayong Signature di sini hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Malah jelasnya lagi, Restoran Labu Sayong akan diketengahkan sebagai Restoran Francais di seluruh negara kelak.

Restoran ini bakal beroperasi bermula pada jam 11.30 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis manakala Jumaat hingga Ahad pada jam 11 pagi hingga 11 malam.

Pelbagai menu tradisional menarik yang disediakan buat pelanggan antaranya seperti Ikan Purba Labu Sayong, Tenggiri Kepai Udang Kertas dan Rusuk Kambing Tongkat Ali.

Keunikan restoran ini pastinya dari segi seni bina yang menggunakan konsep rumah tradisional asal rumah kutai dengan kerjasama Fakulti Binaan dari Universiti Teknologi Mara (UITM).

Terdahulu turut berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan “Sayong Seni World of Wonders (WOW)” anjuran pihak PKNKP yang bertujuan mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan serta labu sayong sebagai kraftangan tradisional negeri ini.

Pemenang Mohamad Ammar Amirul memenangi tempat pertama dalam pertandingan tersebut mengalahkan 44 peserta lain yang turut mengambil bahagian mempamerkan kesenian labu sayong masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");