Isu Panas

PM Bidas Pembangkang Perkecilkan MRT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas pembangkang yang masih lagi dengan sikap gemar memperkecilkan apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata projek MRT dilhamkan dengan tujuan agar rakyat yang tinggal di bandar berpeluang menikmati jaringan pengangkutan awam yang lebih cekap dan kualiti hidup yang lebih baik, sekaligus mengembangkan lagi ekonomi negara.

Bagaimanapun, Najib berkata pembangkang berterusan dengan sikap mereka untuk meremehkan apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat.

“Ada yang memperkecil-kecilkan jaringan MRT kononnya mereka boleh bina dengan kos lebih murah.

“Malah, ada sewenang-wenang memperlekeh hasil kepakaran anak tempatan kita yang bertungkus lumus, siang dan malam, menyiapkan MRT pada kos lebih rendah daripada bajet dan awal daripada jangkaan,” katanya.

Yang lucunya, kata Najib, baru-baru ini mula terbongkar beberapa isu di negeri-negeri mereka.

Antara lain, perdana mementeri menyebut tentang skandal banglo, rumah Disneyland, harga terowong, pintu gerbang dan lebuhraya yang dibina berlipat ganda lebih tinggi daripada sepatutnya.

Walaupun tidak mengulas lanjut, kenyataan perdana menteri jelas merupakan rujukan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa memperoleh sebuah banglo di negeri itu di bawah harga pasaran daripada seorang usahawan.

Jun lalu, Lim, mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah dalam penukaran status tanah dari pertanian ke perumahan, dan pembelian sebidang tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Manakala rumah Disneyland dipercayai berkaitan dengan pemimpin Pemuda PKR, Datuk Adam Rosly di Ampang, yang menjadi subjek penyelidikan SPRM.

“Ke mana hilangnya wang ini? Apakah skandal kewangan mereka ini tujuan untuk membina MRT dengan lebih murah?” soalnya dengan nada menyindir.

Najib berkata walaupun kerajaan menyedari bahawa rakyat sentiasa memerhati kerajaan, tetapi mereka juga tidak terlepas pandang dengan pelbagai perkara aneh dalam pentadbiran pembangkang.

“Pokoknya, projek MRT Line 1 kini sudah siap dan rakyat Malaysia telah mula menikmati kemudahan ini.

“Saya turut teruja untuk terus memastikan pelbagai lagi transformasi dijalankan ke atas sistem pengangkutan awam negara di masa hadapan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");