Isu Panas

PM Najib Tak Ada Kepentingan Peribadi Dalam UMNO – Syed Ali

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tiada kepentingan peribadi dalam UMNO apabila mengambil keputusan membuka peluang kepada ahli-ahli parti di peringkat cawangan dan bahagian untuk pemilihan jawatan presiden.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, jika Najib mengamalkan sikap diktator dan mempunyai kepentingan dalam parti, beliau boleh untuk tidak bersetuju membenarkan pindaan perlembagaan parti supaya pemiihan dibuat di peringkat akar umbi.

“Jika Najib selaku Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri tamak kuasa, beliau boleh meneruskan peraturan sebelum ini yang mana hanya perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO membuat pemilihan untuk jawatan presiden parti.

“Tetapi, UMNO dibawah kepimpinan Najib mengambil sikap terbuka pada tahun 2013 dengan membenarkan pemilihan jawatan presiden dibuat oleh akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian.

“Inilah buktinya Najib tidak menjadikan UMNO sebagai alat untuk agenda peribadi, kalau tidak, lebih baik beliau kekalkan cara dan amalan lama untuk pemilihan jawatan presiden parti,” tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya lapor Astro Awani.

Berdasarkan kepada ketelusan itu kata Syed Ali, beliau melihat Najib tidak mahu UMNO dilihat oleh rakyat sebagai milik individu tertentu seperti berlaku sebelum ini sehingga ahli-ahli UMNO tidak bebas untuk bersuara.

“Hari ini, transformasi politik dilakukan Najib telah menjadikan ahli-ahli UMNO lebih kritis, matang dan berani bersuara melontarkan pandangan, saranan dan kritikan kepada kepimpinan parti.

“Saya juga melihat Najib tidak ada sebarang kepentingan peribadi dalam parti,” tegasnya lagi sambil berkata perubahan itu menjadikan UMNO semakin kukuh dan dihormati.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang dilaporkan berkata langkah membuka pemilihan jawatan Presiden UMNO kepada lebih 165,000 anggota pada tahun 2013 merupakan bukti nyata bahawa UMNO bukan milik beliau seorang malah berbeza di zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata tindakan Najib selaku Presiden UMNO menghapuskan sistem ‘undi kuota’ juga membuktikan keikhlasan beliau untuk melihat parti lebih terbuka dan demokratik.

Menurut beliau, tindakan tersebut juga telah menjadikan UMNO lebih demokrasi dan memberi peluang serta kesempatan kepada semua pihak untuk menawarkan diri memegang sebarang jawatan penting dalam parti.

“Lebih 160 ribu ahli-ahli UMNO diberi kebebasan membuat pilihan, inilah transformasi politk yang amat berjaya yang telah dilakukan oleh Najib, sejajar dengan prinsip demokrasi.

“Secara tidak langsung, ahli-ahli UMNO yang kini mencecah melebihi 3 juta orang memdapat pengiktirafan daripada Najib untuk membuat pilihan dalam menentukan kepimpinan parti.

“Sebelum ini (2013), pemilihan dibuat di Perhimpunan Agung UMNO dan menerusi sistem kuota, inilah juga kemungkinan menularnya amalan politik wang yang hanya merosakkan parti,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menjelaskan, serangan fitnah dan politik provokasi dilakukan pembangkang hanya akan memudaratkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berasa kesal dengan sikap pembangkang yang semakin agresif menyebarkan propaganda berunsur fitnah dan provokasi untuk memburuk-burukkan pemimpin UMNO termasuk Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, beliau mahu seluruh ahli-ahli UMNO menyekat penyebaran fitnah dan provokasi tersebut bagi memastikan rakyat tidak berada dalam keadaan keliru.

“Kita (UMNO) kena berusaha bagi memastikan rakyat bersama kita pada PRU akan datang, UMNO dan BN perlu bangkit dengan segala kekuatan untuk menangkis ancaman tersebut,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");