shadow

ALOR SETAR – Wanita Barisan Nasional (BN) berharap barisan ke­pemimpinan parti kom­ponen itu supaya tidak mele­takkan calon wanita di kawasan hitam dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abd. Jalil berkata, pihaknya berharap calon wanita yang bakal dipilih bagi mewakili parti komponen tersebut diletakkan di kawasan yang munasabah.

“Saya berharap barisan kepe­mimpinan BN beri peluang kepada (calon) wanita di kawasan yang munasabah… kawasan yang mereka kuat dan ada peluang untuk menang.

“Jadi jangan letak mereka (calon wanita) di kawasan yang kita tahu ‘hitam’… cari-cari calon, letak calon wanita (di kawasan hitam),” katanya selepas Majlis Pelancaran Gerak Kerja Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus Peringkat Negeri Kedah yang dirasmikan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita negeri, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri, Datin Norhashimah Md. Nowar.

Shahrizat berkata, pihaknya bagaimanapun yakin barisan ke­pemimpinan komponen BN akan membuat keputusan bijak dalam meletakkan calon pada PRU-14 akan datang.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, ahli parti itu diingat­kan supaya tidak mudah jatuh dalam perangkap pembangkang.

“Nak menjelang pilihan raya ini, macam-macam akan berlaku terutama tohmahan dan fitnah. Saya nak ingatkan semua, kita bukan ahli NGO (pertubuhan bukan kerajaan)… kita ahli yang menganggotai parti politik maka ekosistemnya lain… ada pelbagai cabaran dan dugaan.

“Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kepemimpinan komponen BN amat akrab… ini amat ditakuti pembangkang. Sebab itu mereka sentiasa mencari jalan untuk memecah-belahkan kita.

“Oleh itu, kita perlu waras dan rasional, jangan jatuh dalam pe­rangkap pembangkang yang mahu memecah-belahkan ahli parti UMNO dan BN,” katanya.

Komen & Pendapat