shadow

MANJUNG:Pemuda UMNO menyifatkan pilihan raya umum (PRU) ke-14 adalah satu jihad bagi memerangi golongan yang membawa fitnah dan tomahan bertujuan untuk merosakkan perpaduan serta memecah belahkan pemimpin parti.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun berkata semua jentera disaran untuk bekerja bersungguh-sungguh supaya dapat memenangi PRU-14 yang akan datang.

“Kita perlu bekerja bersungguh -sungguh kerana ia jihad yang perlu kita menangi dalam usaha menghapuskan golongan yang memecah-belahkan keamanan yang dikecapi kini,” katanya selepas merasmikan perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Lumut 2017 di sini hari ini.

Jelasnya lagi, senario kini menyaksikan pemimpin pembangkang yang juga bekas pemimpin UMNO sendiri sering menabur fitnah terhadap kerajaan malah berusaha memecah-belahkan perpaduan rakyat dan menanamkan kebencian.

Beliau turut mengakui bersetuju dengan pendapat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa pembangkang mengamalkan sikap 3B iaitu bohong, menanamkan kebencian dan balun.

 

“Saya sokong kenyataan Menteri Besar mengenai 3B kerana pembangkang hanya tahu berbohong, menanamkan kebencian dan balun seperti tin kosong,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan kerjasama gabungan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) Plus yang kini melibatkan penyertaan sayap pemuda dan puteri akan lebih melancarkan proses bancian dan sokongan baru kepada parti.

“Jalinan rakyat yang sebelum ini dibawah tanggungjawab pergerakan wanita dan kini jaringan dibesarkan melibatkan Sayap Pemuda, Sayap Puteri dalam JR Plus.

“Menerusi JR Plus pastinya akan wujud koordinasi kerja yang baik malah pertindihan kerja dapat dielakkan,  kini kita menjejaki pengundi pemuda lelaki sama ada Melayu atau bukan Melayu begitu juga dengan sayap Puteri,” katanya.

Jelasnya lagi, kerjasama ini akan membantu melengkapi usaha yang dijalankan sejak PRU-13 lagi dan membantu dapat keputusan dengan lebih tepat.

“Sejak pilihan raya ke-13 wanita tidak henti menjalankan bancian dan menarik pengundi baru jadi dengan usaha bersama pemuda dan puteri pastinya statistik dan keputusan akan lebih baik.

“Kita mendekati pengundi semua kategori termasuk pengundi atas pagar, pengundi putih dan pengundi tegar kita akan mendekati mereka supaya boleh menyakinkan mereka,” katanya.

Katanya lagi, pendekatan pastinya berbeza mengikut peringkat umur malah setiap keinginan mereka pasti dapat digambarkan dengan lebih jelas.

Malah jelas beliau, rakan sebaya lebih mudah didekati apa yang mereka inginkan mereka lebih mudah mengekpresikan

Azwan berkata setakat ini JR dianggarkan sudah mendekati pengundi hampir 80 peratus di seluruh negara.

Komen & Pendapat