Sukan Hari Ini

Satu Tak Cukup, Jijoe Mahu Dua!

PETALING JAYA: Bukan satu tapi dua pingat emas menjadi sasaran jaguh trek negara, Azizulhasni Awang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Sasaran dua pingat emas itu adalah menerusi acara keirin dan pecut 200 meter yang akan disertainya nanti.

“Ya, sudah tentu saya mahu menang pingat emas menerusi dua acara itu nanti. Namun saingan pasti sengit,” katanya kepada mStar Online.

Jelas atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu, impian memburu dua pingat emas tersebut turut didorong semangat untuk mencipta kemenangan buat negara di Velodrom Nasional, Nilai yang akan digunakan buat julung kalinya ketika temasya berkenaan.

“Lebih manis jika dapat melakar kemenangan di velodrom negara sambil disaksikan penyokong sendiri. Saya harap agar impian ini menjadi kenyataan.

“Saya juga amat teruja dan tidak sabar untuk merasai sendiri pengalaman berlumba di velodrom negara,” katanya.

Ditanya mengenai persiapannya, juara dunia acara keirin pada Kejohanan Dunia di Hong Kong, April lalu itu berkata segalanya berjalan seperti yang diharapkan.

“Persiapan berjalan dengan lancar, tak ada apa-apa masalah. Saya akan balik ke Malaysia minggu depan sebelum upacara perasmian. Doakan semoga segala urusan saya dan atlet lain dipermudahkan nanti,” katanya.

Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocket Man turut melahirkan rasa teruja kerana terpilih sebagai salah seorang daripada tiga pembawa bendera ketika perarakan masuk kontinjen negara pada acara pembukaan temasya tersebut.

“Ia satu penghargaan tertinggi dan tanggungjawab besar buat saya dan dua atlet lain. Diharap kehadiran kami akan menaikkan semangat juang dan motivasi atlet negara untuk melombong sebanyak mungkin emas.

“Perasaan kali ini sedikit berbeza kerana saya akan membawa jalur gemilang di hadapan jutaan rakyat Malaysia. Sesungguhnya saya tidak sabar menunggu saat itu,” katanya.

Untuk rekod, Azizulhasni atau lebih mesra disapa Jijoe memenangi pingat emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan dan dua pingat perak menerusi acara 1 KM ujian masa dan pecut individu di Sukan SEA Korat, Thailand pada 2007.

Temasya KL2017 akan membuka tirainya pada 19 hingga 30 Ogos ini dengan menawarkan 38 jenis sukan dipertandingkan melibatkan 405 acara.

Malaysia pernah muncul juara keseluruhan pada edisi 2001 ketika menjadi tuan rumah apabila meraih 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");