shadow

IPOH: SMK Raja Permaisuri Bainun muncul juara bagi kategori Sekolah Menengah Atas Bahasa Melayu manakala SMK Methodist ACS Ipoh bagi kategori Sekolah Menengah Atas Bahasa Inggeris, dalam peringkat akhir Pertandingan Pidato DiRaja dan Menulis Esei, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak 2016 di Auditorium Perak Fm, di sini, pada Sabtu.

 

Salah seorang pemidato, Muhammad Danial Haikal Mohd Sauji, 17, dari SMK Raja Permaisuri Bainun tidak menyangka tuah menyebelahinya dalam pertandingan tersebut.

“Saya tidak sangka yang saya dinobatkan sebagai juara dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna.

 

“Kejayaan ini semua tidak menjadi kenyataan jika saya tidak mendapat bantuan serta sokongan dari guru dan ibu bapa,” katanya.

 

Tambah anak kelahiran Tanjung Tualang itu, acara pidato bukanlah suatu yang asing baginya malah beliau sebelum ini pernah menjadi naib johan bagi Pertandingan Pidato DiRaja Peringkat Negeri Perak pada tahun lepas.

Seorang lagi pemidato Dhirren Amaresha Katihrasan, 17, menyatakan rasa teruja dengan kemenangan ini selain dapat menyampaikan pidatonya di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

“Secara jujur saya memang tidak menyangka akan menjulang piala juara dan saya juga sangat teruja kerana berpeluang untuk berpidato sambil  disaksikan Sultan Perak,” katanya.

 

Mereka masing-masing membawa pulang sebuah  piala dan wang tunai bernilai RM 750.

 

Turut hadir ialah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P. Kamalanathan.

Selain itu, ia turut mengumumkan senarai pemenang bagi kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah Menengah Atas untuk pertandingan pidato dan menulis esei ini.

 

Panel hakim bagi pertandingan pidato ini terdiri daripada ahli akademik negara yang dipengerusikan  Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah,  Tan Sri Professor Datuk Dr Nordin Kardi.

 

Pertandingan yang sudah bermula pada April lalu ini telah disertai seramai 1,188 orang pelajar, bagi pertandingan pidato dan 15,950 orang pelajar bagi pertandingan esei, dari sekolah-sekolah seluruh Perak.

Komen & Pendapat