Isu Panas

Tawan Putrajaya: Kit Siang Seperti ‘Rubber Stamp’ – Syed Ali

KUALA LUMPUR: Keyakinan pemimpin DAP, Lim Kit Siang bahawa pakatan pembangkang akan menguasai Putrajaya termasuk Johor dan dan Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hanya seperti ‘rubber stamp’ setiap kali menjelangnya musim pilihan raya umum.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata pembangkang hanya mengulangi cerita lama sepertimana pernah mereka dendangkan pada PRU ke-13 tetapi keputusannya masih memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Katanya, pada PRU ke-13 pakatan pembangkang yang waktu itu turut dianggotai oleh PAS melahirkan keyakinan melebihi 100 peratus kononnya BN akan kehilangan Putrajaya dan mereka akan membentuk kerajaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri.

Tetapi ujarnya, pengharapan tersebut tinggal angan-angan Mat Jenin dan DAP ternyata amat kecewa kerana gagal memujuk pengundi supaya memihak kepada pembangkang.

“Jadi, saya sifatkan keyakinan Lim Kit Siang itu hanya seperti ‘rubber stamp’ yang diulang pakai setiap kali menjelangnya musim PRU untuk menarik sokongan pengundi,” tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya lapor Astro Awani.

Sebelum bahang PRU katanya, keyakinan itu tidak dinyatakan secara terbuka kerana pembangkang khuatir pengharapan tersebut hanya akan menjadi bahan ketawa orang ramai.

Syed Ali trurut menempelak DAP yang kononnya begitu optimis akan menawan Johor dengan dakwaan mereka hanya memerlukan kira-kira 10 peratus sahaja lagi undi daripada pengundi Melayu untuk menyingkirkan UMNO dan BN.

“Barangkali mereka menjadikan Parlimen Gelang Patah yang diwakili Lim Kit Siang sebagai kayu pengukur, tetapi ternyata mereka silap perhitungan kerana pengundi di kawasan berkenaan telah sedar kesilapan mereka memberi kemenangan kepada DAP pada PRU ke-13,” jelasnya.

Ini kata beliau, bangsa Johor tidak begitu mudah untuk membuat perhitungan salah yang merugikan masa depan mereka dengan memberi kemenangan mutlak kepada DAP sedangkan mereka tahu hanya UMNO sebagai parti yang berupaya membela nasib dan masa depan anak cucu mereka.

“Lim Kit Siang barangkali terlupa bahawa UMNO lahirnya di Istana Johor, dan negeri itu merupakan kubu kuat UMNO sejak zaman pra-kemerdekaan sehingga sekarang, mana mungkin bangsa Johor akan berpihak kepada parti rasis seperti DAP,” tegasnya.

Begitu juga di Perak kata Syed Ali, walaupun pernah suatu ketika UMNO goyah dan menyaksikan pembangkang menguasai kerajaan negeri untuk sementara waktu, tetapi itu bukan jaminan bahawa pembangkang berpeluang bertapak di negeri berkenaan.

Menurut beliau, UMNO di Perak semakin mantap dan kukuh dengan peningkatan keyakinan rakyat bahawa hanya kerajaan BN dan UMNO yang boleh diharapkan meneruskan perjuangan umat melayu.

Katanya lagi, UMNO pernah dilanda krisis kepimpinan sejak tahun 1987 yang menyaksikan UMNO diharamkan pendaftarannya dan 1992 pula berlaku penyingkiran Anwar daripada tampuk UMNO kerana skandal penyalahgunaan kuasa dan isu meliwat.

“Bagaimanapun, UMNO berjaya melepasi halangan dan dugaan berat tersebut dengan penuh cekal dan yakin bahawa rakyat terutama orang Melayu tetap menyokong parti itu dan terbukti, hari ini UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bertambah cemerlang,” tegasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa sokongan pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina terhadap BN berada di prestasi terbaik berbanding musim PRU ke-13.

Menyedari peningkatan itu katanya, ternyata telah membimbangkang blok pembangkang terutama DAP yang sememangnya mengharapkan sokongan 80 peratus daripada pengundi Cina.

“Senario 2013 telah berubah dan pada PRU ke-14 akan datang, saya tetap optimis pengundi Cina akan memberi tambahan undi kepada calon BN di seluruh negara dan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur amnya.

Justeru jelas beliau, pengharapan seperti yang dilaungkan oleh Lim Kit Siang kononnya pakatan pembangkang akan menguasai Putrajaya hanyalah cerita rekaan bertujuan menutup kepincangan dan kecelaruan dalam pakatan pembangkang yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");