shadow

JOHOR BAHRU: “Kami akan berpindah ke rumah sendiri dan memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri,” menurut Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim yang kini sedang menyiapkan mahligai baharunya sebagai persediaan mengharungi kehidupan selepas mendirikan rumah tangga.

Puteri tunggal Sultan Johor itu bakal melalui pengalaman baharu buat dirinya bersama bakal suami, Dennis Muhammad Abdullah, seorang warga Belanda, selepas perkahwinan mereka, esok.

“Ini adalah pertama kali saya akan tinggal sendiri, dan jauh dari ayahanda, bonda serta ahli keluarga yang lain,” katanya kepada Royal Press Office.

Istiadat pertunangan Tunku Tun Aminah akan berlangsung di Istana Bukit Serene pada sebelah pagi esok, diikuti Istiadat Akad Nikah.

Manakala pada sebelah malam, pengantin Diraja itu akan diraikan dalam Istiadat Persandingan di Bilik Singgahsana, Istana Besar Johor Bahru.

Kesemua istiadat itu akan dijalankan penuh adat istiadat dan budaya Diraja Johor, di mana pengantin perempuan akan mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga, manakala pengantin lelaki mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.

Menurut Sinar Harian, kira-kira 1,200 tetamu bakal menghadiri majlis ringkas tapi penuh bermakna itu yang akan turut dipancarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi skrin digital gergasi di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Tunku Tun Aminah berkata, beliau tertarik dengan Dennis Muhammad kerana perwatakan bakal suaminya yang baik dan lemah lembut.

“Beliau sentiasa memberi sokongan dan memahami saya dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Dennis Muhammad yang memeluk agama Islam sebelum mengenali Tunku Tun Aminah berkata, beliau terharu apabila diterima menjadi sebahagian daripada Keluarga Diraja Johor.

“Tunku Tun Aminah seorang insan yang amat istimewa buat saya. Beliau seorang yang menarik namun dalam masa sama, seorang yang tegas dan mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh.

“Beliau juga amat rapat dengan keluarganya, seperti saya dengan keluarga di Belanda,” katanya.

Dennis berkata, walaupun mengahwini seorang anak raja, beliau tetap akan bekerja kerana bapanya pernah menegaskan betapa pentingnya untuk bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.

Komen & Pendapat