Panasnya Hari Ini

UMNO Johor Tak Amal Budaya Ikut-Ikutan, Mahu Sentuhan Pemimpin Muda

JOHOR: UMNO Johor sama sekali tidak pernah mengamalkan budaya ikut-ikutan dan tidak ampu-mengampu mana-mana pihak.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin, merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata sifat perjuangan yang sangat kasih pada parti ini bukannya kerana terpaksa atau tidak punya pilihan tetapi atas keyakinan pada sebuah perjuangan yang benar.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2017 hari ini.

Terdahulu Majlis dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,Khairy Jamaludin.

Malah tegasnya UMNO kini sememangnya memerlukan sentuhan baharu, dari pemimpin pelapisnya, jika ia ingin berkelangsungan dan kekal relevan.

“UMNO adalah parti yang sarat dengan bakat dan potensi. Jadi UMNO mesti membongkar segala potensi dan bakat ini, khususnya potensi dan bakat ‘the second echelon’ nya.

“Kami sangat berkeyakinan bahawa, pemimpin muda harus ditonjolkan, dengan berani, dan digalaskan dengan harapan, amanah dan tanggungjawab yang besar.

“Hanya dengan harapan, amanah dan tanggungjawab yang besar, pemimpin muda akan belajar dan membesar,” katanya.

Jelasnya lagi, sejak UMNO wujud di Pasir Gudang, mereka tidak terikut dengan pemimpin dari negeri itu yang melompat ke gelanggang lain dan sentiasa bersedia untuk bersemuka dan melawan mereka habis-habisan.

“Bukan kerana kami tidak mengenang jasa. Jauh sekali kerana kami sukakan permusuhan.

“Tetapi, kerana kami adalah pendukung parti yang percaya, UMNO adalah gerakan tajdid (pembaharuan) untuk bangsa Melayu. Ia adalah gerakan amal dan bakti. Ia adalah gerakan pencerahan. Ia adalah gerakan kesederhanaan. Ia adalah penghubung paling telus antara kami dengan mereka para pendiri bangsa yang telah pergi,” katanya.

Tambahnya lagi, perjuangan parti kini sudah lain malah lebih rumit dan lebih sulit berikutan musuh yang dilawan kini bukan lagi penjajah yang jelas sosok, niat dan rupanya.

“Tetapi, hari ini kita melawan bangsa kita sendiri, dan segala kekurangan yang ada padanya.

“Melawan kealpaan. Melawan sikap dan pemikiran yang tidak berkemajuan. Melawan sikap dingin dan penolakan mereka pada perjuangan kita,” katanya.

Di akhir ucapannya beliau menyatakan harapan supaya Khairy Jamaludin selaku pemimpin pelapis  mesti meyakinkan rakyat bahawa UMNO masih lagi wadah politik terbaik untuk mereka memberikan sumbangsih pada bangsa dan negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");