shadow

KUALA LUMPUR – Saat diaju persoalan sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan ia soalan paling popular diterimanya sejak beberapa bulan ini.

Malah, bagi Menteri Besar Perak itu, persoalan berkenaan menimbulkan rasa ingin tahunya mengapa ramai pihak membuat spekulasi mengaitkannya dengan kerusi Parlimen antaranya Lumut, Bukit Gantang, Tambun dan Gerik.

Dalam nada berhati-hati, beliau berkata ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti dalam menentukan kedudukannya sama ada terus kekal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau beralih ke kawasan Parlimen.

“Saya seorang yang mudah, disuruh pergi saya pergi, disuruh datang saya datang. Apabila amanah diberi, saya akan memberikan khidmat bakti,” katanya dalam temu bual dengan Bernama pada Jumaat .

Bagaimanapun, ADUN Pangkor itu berkata beliau telah dimaklumkan untuk terus mengepalai jentera Barisan Nasional (BN) Perak pada PRU14 dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ditanya sama ada ia merupakan indikasi untuknya terus menerajui kerajaan negeri, Zambry berkata urusan pelantikan Menteri Besar merupakan keputusan Najib yang perlu mengemukakan nama calon bagi mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Kata Zambry, beliau yakin pucuk pimpinan parti akan membuat penilaian terbaik terhadap dirinya berdasarkan maklum balas daripada rakyat dan akar umbi dalam menentukan sama ada beliau layak untuk terus menerajui kerajaan negeri, sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU14.

Beliau berkata fokus sebenar bukan kepada isu siapa yang akan dilantik menjadi Menteri Besar, sebaliknya persiapan menghadapi PRU14 dalam memastikan kemenangan BN.

Dilihat sebagai satu daripada medan pertempuran sengit pada PRU14 dengan BN Perak hanya memenangi 31 daripada 59 kerusi DUN pada PRU13, Zambry berkata pelbagai usaha harus giat dilakukan seperti memastikan semua anggota parti itu termasuk yang berada di luar kawasan untuk mengundi.

“Sebagai contoh, ada kawasan Parlimen kita tewas hanya tidak sampai 900 undi tetapi apabila kita membuat perkiraan, anggota UMNO yang tidak keluar (mengundi) lebih kurang 3,000 orang. Tetapi bukan sebab dia boikot calon yang berkenaan, tetapi mungkin mereka menganggap bahawa calon itu akan menang,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan BN akan terus mengekalkan kuasa di negeri Perak berasaskan kepada gerak kerja dan program-program yang telah dilaksanakan demi membantu rakyat.

“Kami bekerja sebaik habis PRU lepas dan kami terus bekerja…ini akan memberikan perspektif yang baik kepada rakyat berbanding sesuatu parti yang hanya bekerja apabila pilihan raya akan diadakan,” tambahnya.

Zambry berkata slogan kerajaan BN Perak ‘Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir’ menjadi pegangan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan parti politik.

Mengenai persoalan sokongan masyarakat Cina kepada BN di Perak, beliau yakin pengundi kaum Cina akan melihat keupayaan parti itu mengekalkan kesejahteraan dan keamanan serta pertumbuhan ekonomi sebagai faktor dalam membuat penilaian.

“Kita tidak boleh membuat tanggapan bahawa sokongan masyarakat Cina tetap statik, atau tidak berubah, trend atau pemikiran mereka sentiasa kepada pembangkang. Saya tidak fikir begitu kerana mereka merupakan masyarakat yang dinamik dan mereka melihat sesuatu perkembangan dan realiti,” katanya.

Mengenai calon PRU14, Zambry berkata ia melibatkan kombinasi antara golongan berpengalaman, muda dan wanita selain pemimpin di peringkat akar umbi.

“Kita sudahpun ada senarai-senarai calon dan kaji selidik sedang kita buat untuk melihat calon-calon yang boleh diterima, ini termasuk mereka yang sedang berkhidmat sama ada ADUN mahupun Anggota Parlimen. Semua akan dibuat penilaian kerana Perdana Menteri amat menekankan aspek prestasi dalam kalangan Yang Berhormat kita,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat