Berita Hari Ini

Skim MySalam Beri Manfaat Kepada 3.69 Juta Rakyat – Tun M

PUTRAJAYA: Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang diperkenalkan kerajaan hari ini dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat Malaysia, berumur 18 hingga 55 tahun.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia selaras objektif kerajaan untuk mencapai manfaat ekonomi jangka panjang yang lebih tinggi.

“Kita akan berusaha sedaya upaya menjana dana bagi meringankan beban rakyat jelata dan untuk mencapai matlamat itu, kita turut mengambil langkah-langkah inovatif dan alternatif.

“Usaha kami ini telah mula membuahkan hasil dan Skim mySalam ini membuktikan langkah-langkah inovatif dan alternatif tersebut mampu membantu mencapai matlamat membantu rakyat.

“Skim mySalam ini diperkenalkan dengan sumbangan permulaan yang besar, sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam, di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini lapor Astro Awani.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Skim mySalam merupakan inisiatif kerajaan membantu golongan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

Di bawah skim itu, penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan Alzheimer.

Pada 2017, kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan B40 yang bekerja adalah masih rendah pada kadar 30.3 peratus berbanding kadar 50.4 peratus bagi kesemua rakyat bekerja.

Dr Mahathir percaya, skim itu akan berjaya menarik dan menambahkan sumbangan kepada Tabung mySalam daripada Great Eastern dan semua penanggung insurans dan pengendali takaful di negara ini.

“Saya juga berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia.

“Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa gembira saya melihat kerjasama yang kukuh di antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.

“Ia untuk merealisasikan hasrat Kerajaan menubuhkan sebuah jaringan sosial kesihatan yang menyeluruh bagi meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Di samping Skim mySalam, ujar Dr Mahathir, inisiatif lain yang berkait rapat dan akan diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan ialah Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40.

“Skim PeKa B40 ini akan dilancarkan Kementerian Kesihatan pada minggu hadapan untuk golongan B40 berumur 50 tahun dan ke atas.

“Ia adalah projek perintis tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");