Perak Hari Ini

Taiping-Fukuoka Jalin Kerjasama Dua Hala

IPOH: Selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) , Bandaraya Fukuoka, Jepun hari ini memperluaskan hubungan kerjasama persefahaman mereka dengan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani memorandum (MoU) persefahaman antara kedua-dua pihak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pagi tadi.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha tersebut akan mengkhususkan kepada kerjasama antara Zoo Taiping dengan Zoo Dan Taman Botani Fukuoka, Jepun.

Jelasnya, kerjasama tersebut dapat mempereratkan lagi hubungan di antara Jepun dan Negeri Perak.

Malah, kata Ahmad Faizal, usaha itu juga bakal melibatkan urusan pertukaran haiwan antara kedua-dua zoo.

“Selepas MoU ini selesai, kedua-dua pihak akan berbincang untuk mengenal pasti apakah haiwan yang sesuai untuk proses tersebut.

“Namun pertukaran haiwan ini hanya tertakluk kepada tempoh masa tertentu sahaja. Ia bukan selama-lamanya,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, bagi meraikan ulang tahun ke-30 hubungan dua hala antara Bandaraya Fukuoka dengan MBI, beliau berkata, satu lawatan rasmi akan diadakan kelak.

Jelasnya, lawatan tersebut akan dijadikan sebagai satu ruang untuk mencari lebih banyak peluang kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU yang disempurnakan Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Ariff dengan Datuk Bandar Fukuoka, Takashima Soichiro di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian, Abd Rahim berkata, antara tujuan mengadakan kerjasama dua hala tersebut ialah bagi meningkatkan lagi usaha memelihara serta menjaga populasi haiwan di zoo masing-masing.

“Taiping dan Fukuoka mempunyai misi yang sama iaitu mempromosikan budaya pembelajaran dan menjaga alam sekitar selain menggalakkan warga bandarnya untuk terus berusaha menyayangi alam sekitar dan hidupan liar,” katanya.

Ia turut senada dengan Takashima yang mana semasa menyampaikan ucapan beliau berkata pihak mereka turut sama ingin mempertingkatkan usaha menjaga hidupan liar di zoo mereka.

Beliau juga berkata akan mengadakan lawatan balas ke Bandaraya Ipoh pada Disember nanti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");