Perak Hari Ini

Jom Memeriahkan Sambutan Hari Tentera Darat Ke-86 Di Sungai Siput

IPOH: Dalam usaha mendekatkan lagi tentera dengan masyarakat, Sambutan Hari Tentera Darat Ke-86 yang berlangsung pada 1 sehingga 3 Mac ini akan diadakan di Padang Bola Sepak Ladang Kamuning Sime Darby, dekat Sungai Siput.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar berkata, acara tersebut merupakan julung kali diadakan di Perak.

Ujarnya, antara pengisiannya ialah pameran aset-aset ketenteraan negara yang belum pernah dipamerkan kepada umum dan dibawa ke negeri ini.

Antara aset yang terlibat ialah meriam Howitzer G5, Pelancar Roket Berganda dan kereta kebal PT-91M Pendekar.

Selain itu katanya, Sambutan Hari Tentera Darat yang akan dirasmikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi itu turut akan diisi dengan beberapa siri persembahan yang menarik.

Antaranya, persembahan demonstrasi tempur tanpa senjata, aksi penerjunan udara, ‘drumline’, persembahan oleh Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD), Tambor Wanita Rejimen Semboyan Diraja (RSD) serta persembahan motosikal akrobatik Wira Merah.

Tambahnya, pada masa sama, sepanjang acara sambutan berlangsung, selain daripada sesi pemeriksaan percuma, Tentera Darat juga akan menyediakan sesi pengambilan baharu anggota tentera untuk orang awam.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar

“Walaupun masyarakat mula mengenali Tentera Darat namun, kita merasakan masih ada lagi jurang khususnya tentang apa yang mereka perlu tahu tentang Tentera Darat.

“Diharapkan dengan melihat segala demonstrasi yang akan dipertontonkan, pameran yang disediakan serta dengan aset-aset yang dibawa, ia akan mendekatkan lagi rakyat pada kami.

“Kami juga berharap kali ini, ia juga dapat menarik minat belia khususnya daripada masyarakat Cina dan India untuk turut lebih ramai menyertai angkatan tentera ini,” katanya.

Menurutnya lagi, acara akan berlangsung bermula pada jam 7.15 pagi, pada 1 Mac dan 9 pagi pada dua hari berikutnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Kem Remilies 2 Briged, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menurut Mohd Nizam, pada 2 sehingga 11 Mac pula, lebih daripada 2,000 orang anggota tentera akan terlibat dengan latihan ketenteraan Eksesais Satria Perkasa.

Jelasnya, ia sebahagian daripada latihan yang mahu menguji tahap kesiapsiagaan anggota tentera.

“Eksesais akan bermula di Sungai Siput dan menuju ke Gerik. Pada waktu itu, penduduk di kampung di sekitar akan melihat banyak kenderaan tentera berada di atas jalan raya.

“Ia merupakan senario seolah-olah musuh telah mengambil sebahagian kawasan kita, dan kita dipertanggungjawabkan untuk mengusir mereka.

“Diharapkan agar orang ramai tidak akan panik kerana ia bukan senario sebenar. Ia hanya semata-mata untuk latihan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");