Berita Hari Ini

Kadar Elaun Anggota RELA Akan Dinaikkan

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menaikkan kadar elaun bertugas bagi pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selewat-lewatnya tahun depan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mencadangkan kadar elaun bertugas bagi pegawai RELA dinaikkan daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam, manakala bagi anggota biasa daripada RM6 sejam kepada RM8 sejam, selepas kali terakhir dikaji tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, kementerian melihat ada asas untuk menaikkan kadar elaun bertugas itu dengan mengambil kira kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.

“RELA memperuntukkan RM14 juta setahun bagi kadar elaun bertugas itu dan kementerian memohon tambahan RM10 juta lagi daripada Kementerian Kewangan bagi tambahan kadar elaun ini.

“Saya fikir kadar itu tidak terlalu melampau dan boleh diusahakan, malah saya sendiri akan menghantar surat sokongan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan berharap ia dapat diluluskan.

“Kalau dapat diluluskan tahun ini pun bagus tapi kalau tak boleh disebabkan bajet sudah diluluskan, maka kita harap ia dapat dilaksanakan tahun depan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke-47 Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Katanya, kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota RELA di seluruh negara dan menyambut baik kenyataan dibuat Ketua Pengarah Pesuruhjaya RELA, Zulkifli Abidin supaya peranan dan skop kerja RELA diperluaskan lagi pada masa depan.

“Saya melihat RELA bukan sahaja sebagai organisasi sukarelawan terbesar di Malaysia sebaliknya skop dan bidang kerjanya boleh dikaji dan dipertingkatkan.

“Bagaimanapun, ia perlu ada perbincangan lanjut kerana bagi menambahkan skop kerja, ia memerlukan latihan, sumber manusia dan peruntukan,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, RELA juga mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti pencegahan jenayah bersama komuniti.

“Pada tahun lalu, jenayah indeks per 100,000 penduduk Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 11.9 peratus atau 11,949 kes kepada 88,662 kes berbanding nilai ambang yang ditetapkan iaitu 100,611 kes.

“Saya difahamkan bahawa anggota RELA berjaya melaksanakan 17,397 rondaan keselamatan secara sukarela di seluruh negara tahun lalu,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");