Sukan Hari Ini

Nicol David Gantung Raket Jun Ini

Ratu skuasy negara Nicol David mengumumkan akan bersara pada Jun ini, selepas dua dekad mengungguli gelanggang dengan lapan kejuaraan dunia.

Menerusi ciapan di Twitter, Nicol berkata beliau “gembira dan teruja” untuk berkongsi perkara itu dengan semua pihak.

“Rasmi! Saya benar-benar gembira dan teruja untuk berkongsi dengan semua yang saya akan bersara Jun ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong selama 20 tahun ini dan kini masanya untuk peluang baru,” katanya pagi ini.

Menerusi lintas langsung di saluran Nadi Arena semalam, beliau dilaporkan berkata musim 2018/2019 akan menjadi musim terakhirnya sebagai pemain skuasy profesional.

Menurut anak kelahiran Pulau Pinang berusia 36 tahun itu, keputusan itu selepas perbincangan bersama keluarga dan jurulatihnya, Liz Irving.

Sejak membuat penampilan pertama di Kejohanan Terbuka British bawah 14 tahun pada 1996, Nicol telah menang dalam banyak kejohanan, termasuk rekod 109 bulan sebagai pemain nombor satu dunia.

Beliau juga menjadi pemain pertama yang menang dua kejohanan dunia junior pada 2001, selain sejumlah pingat emas di temasya Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

Beliau turut dipilih sebagai pemain skuasy wanita terhebat dalam sejarah dalam undian Professional Squash Association (PSA) tahun lalu.

Kini di kedudukan ke-21, beliau dimasukkan dalam ‘Hall of Fame’ Persekutuan Skuasy Sedunia pada 2011, menjadi pemain pertama dalam sejarah sukan itu yang disenaraikan ketika masih aktif.

Terdahulu, Nicol berkata akan terus memberi sumbangan dalam sukan itu melalui PSA serta bergiat dalam yayasannya Nicol David Foundation.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");