Panasnya Hari Ini

PAS Bebas ‘Bermadu’, Kata Ismail Sabri

HULU LANGAT: PAS bebas untuk ‘bermadu’ dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia tidak akan menjejaskan hubungan dengan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia kerana BN tidak boleh mengawal PAS di luar kerangka kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Katanya, perjanjian kerjasama antara PAS dan BN ketika ini hanya tertakluk kepada sokongan antara satu sama lain dalam mana-mana pilihan raya di negara ini.

“Soal lain daripada pilihan raya, itu terserah kepada PAS. Takkan kita nak kawal.

“Perjanjian antara kita adalah untuk setiap pilihan raya, PAS akan sokong BN dan begitu juga jika PAS yang bertanding, kita beri laluan dan sokong mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai dekat sini, lewat malam tadi, lapor BH Online.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendedahkan pemimpin PAS membuat pengakuan bertulis kepadanya bahawa parti Islam itu tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding menentang BN dan bukan DAP, namun PAS kemudian mengesahkan kerjasama diteruskan tetapi tahapnya tidak sama seperti di PRK Parlimen Cameron Highlands.

Terdahulu, Ismail hadir mesyuarat bersama jentera PAS selama sejam bermula jam 9.30 malam, yang turut dihadiri

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan semua Yang Dipertua PAS di Selangor.

Ismail berkata, mesyuarat itu menyaksikan PAS sedang menyusun gerak kerja kempen serta peranan Yang Dipertua PAS Selangor untuk menggembleng jentera parti itu untuk membantu kempen calon BN, Zakaria Hanafi dalam PRK DUN Semenyih.

Katanya, PAS dan BN turut merancang program bersama, antaranya ceramah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Sabtu ini, serta satu ceramah perdana di Kantan Permai yang belum ditetapkan tarikhnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata BN sedia disaman Pakatan Harapan (PH) sekiranya mana-mana pemimpin parti itu menyentuh mengenai isu Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang kempen.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bebas berbuat demikian jika tidak selesa dengan apa-apa isu dibangkitkan pemimpin BN, namun tindakan saman itu jika dibuat tidak menggambarkan perjuangan menghormati demokrasi dan kebebasan bersuara yang dilaungkan pemimpin PH selama ini.

Kelmarin, Mujahid dilaporkan berkata mahu mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pihak yang memfitnah TH pada kempen ini, khususnya dengan mengatakan agensi itu kini di bawah cengkaman DAP.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin saman itu akan berpihak kepadanya, berdasarkan kemenangannya dalam satu kes saman terhadap seorang ahli akademik yang memfitnahnya sebagai ‘kuda tunggangan DAP terbaik’ sebelum ini.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhamad Aiman Zainali, 30; calon BN, Zakaria Hanafi, 58; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau ‘Uncle Kentang’.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");