Berita Hari Ini

‘Malaysia Bukan Manipulator Mata Wang’

KUALA LUMPUR: Kemasukan Malaysia dalam Senarai Pemantauan Negara Manipulator Mata Wang Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bersama negara pedagang utama dunia lain sebenarnya menonjolkan kekukuhan negara serta peranan Malaysia dalam ekonomi dunia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata walaupun Jabatan Perbendaharaan AS memasukkan Malaysia dalam senarai itu, laporan terkini itu tidak menamakan Malaysia sebagai manipulator mata wang.

Katanya, Malaysia dimasukkan dalam senarai pemantauan itu atas dua faktor iaitu mempunyai lebihan dagangan dengan AS melebihi AS$20 bilion setahun dan mempunyai lebihan akaun semasa yang sihat melebihi dua peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kedua-dua faktor ini hanya menonjolkan daya saing ekonomi Malaysia dan bukannya bukti berlakunya manipulasi mata wang.

“Tambahan lagi, kita dapat membuktikan daya saing Malaysia dengan melihat prestasi Malaysia dalam Indeks Menjalankan Perniagaan 2019 oleh Bank Dunia dan laporan Ranking Daya Saing Dunia 2019 oleh IMD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam laporan Bank Dunia, kedudukan Malaysia meningkat sembilan anak tangga kepada tempat ke-15 berbanding tempat ke-24 pada tahun sebelumnya.

Dalam laporan IMD pula, Malaysia adalah negara yang ke-22 paling berdaya saing di dunia, mengekalkan kedudukan yang sama seperti tahun lalu.

Pada masa sama, peningkatan dalam pendapatan pelancongan sebanyak 16.9 peratus dari tahun-ke-tahun kepada RM21.4 bilion pada suku pertama 2019 juga adalah suatu galakan, yang mana ketibaan pelancong pula naik 2.7 peratus kepada 6.7 juta orang pada tempoh yang sama.

Perkembangan itu membantu mengukuhkan lagi lebihan akaun semasa negara.

Guan Eng berkata, sesebuah negara hanya akan dinamakan sebagai manipulator mata wang jika ia memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan.

Seperti yang diperakui dalam laporan Jabatan Perbendaharaan AS, beliau berkata, Malaysia tidak campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing dengan tujuan melemahkan nilai ringgit.

Oleh itu, katanya, Malaysia tidak digelarkan sebagai manipulator mata wang.

“Tambahan lagi, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menekankan bahawa Malaysia menerima pakai rejim kadar pertukaran terapung dan sebarang intervensi yang dilakukan adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya perubahan kadar pertukaran yang keterlaluan.

“Ini bermaksud penyenaraian itu tidak memberi kesan kepada Malaysia, dan tiada denda atau sekatan ekonomi akan dikenakan terhadap Malaysia,” katanya.

Guan Eng menegaskan, Malaysia akan terus mengukuhkan daya saingnya secara adil melalui penggunaan teknologi terbaharu, pelaburan infrastruktur, meningkatkan ketelusan, dan memudahkan proses kerajaan dan perniagaan, sambil menggalakkan perdagangan bebas di rantau Asia dan di seluruh dunia.

Beliau berkata, Malaysia adalah ekonomi terbuka dengan daya saing yang tinggi.

Daya saing itu, jelasnya, adalah berasaskan kepada kelengkapan infrastruktur yang baik, peningkatan kadar produktiviti, tahap ketelusan yang tinggi, lokasi strategik serta integrasi erat ekonomi tempatan dalam rantaian bekalan sedunia.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");