Perak Hari Ini

UTC Ipoh Mula Beroperasi

Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh yang dahulunya merupakan bangunan pasar raya Super Kinta telah memulakan operasinya semalam, pusat ketiga dibuka selepas Melaka dan Kuala Lumpur.

Pengurus UTC Ipoh, Shahrulnizam Jaafar, berkata sejak ia dibuka, pusat tersebut menerima sekurang-kurangnya 200 pengunjung setiap hari untuk berurusan di kaunter perkhidmatan yang disediakan.

Memulakan operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam, terdapat 52 pejabat yang terdiri daripada jabatan serta agensi kerajaan dan swasta bersedia memberi perkhidmatan kepada masyarakat, katanya.

“Disini kita ada banyak perkhidmatan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kemudian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) di mana pengunjung boleh membayar bil-bil mereka,” katanya ketika ditemui di UTC.

Menurut beliau, apa yang menarik mengenai UTC tersebut ialah pengunjung yang hadir boleh berurusan dengan agensi dan jabatan yang menyediakan perkhidmatan tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Sebagai satu pusat sehenti dengan pelbagai perkhidmatan, pengunjung hanya perlu bergerak dalam satu bangunan yang sama untuk melakukan urusan yang mereka mahu dan ini akan mempercepatkan urusan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung Mohd Noor Mohd Amin, 46, berkata pembinaan UTC menggantikan pasar raya Super Kinta merupakan alternatif baru untuk penduduk bandar Ipoh kerana ia menyediakan perkhidmatan daripada pelbagai jabatan dan agensi.

“Ia memberi banyak kebaikan kepada pengunjung dari segi urusan dengan jabatan kerajaan kerana dahulu kita terpaksa pergi merata-rata dan membuang banyak masa untuk dapatkan satu-satu perkhidmatan,” katanya.

Katanya, usaha kerajaan membangunkan UTC yang dilihatnya sebagai ‘one stop centre’ dengan pelbagai perkhidmatan bakal memudah serta mempercepatkan urusan masyarakat setempat.

Bagi Voon Teng Khim, 72, beliau berasa sungguh teruja dengan pembukaan UTC di bandar Ipoh.

Katanya, hentian pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan memudahkan urusan masyarakat.

“Senang mahu bayar bil-bil, perbaharui cukai, lesen, pasport dan sebagainya,” katanya.

Sebagai warga emas, beliau turut berasa gembira di atas keprihatinan kerajaan menyediakan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta dalam satu bangunan yang sama.

“Saya rasa sangat seronok kerana selepas ini saya tidak perlu pergi jauh untuk selesaikan segala urusan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");