Perak Hari Ini

Peluang BN Menang Di Perak Cerah

Peluang Barisan Nasional (BN) Perak untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan menjadi lebih cerah sekiranya parti itu memberi tumpuan khusus kepada kawasan-kawasan yang dikuasai parti pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini berdasarkan kepada tahap sokongan rakyat terhadap BN yang semakin bertambah dan menggalakkan sejak kebelakangan ini, tidak terkecuali juga di negeri Perak sendiri.

“Tumpuan perlu diberi kepada kawasan yang BN berpotensi menang yang sebelum ini ditawan oleh pembangkang.

“Kawasan yang kita menang pula perlu dipertahankan dan di kerusi yang dahulunya dimenangi oleh PKR dan PAS dengan undi majoriti yang kecil, kita mungkin ada peluang untuk BN menang pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang dan mengadakan pertemuan dengan warga kerja PROTON di Kilang Proton City, dekat Tanjung Malim, hari ini.

Muhyiddin yang juga merangkap Timbalan Perdana Menteri, bagaimanapun mengingatkan jentera parti agar jangan terlalu yakin sebaliknya bekerja keras dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Semua ini katanya, perlu dilaksanakan bagi memastikan sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat dengan cara menyelesaikan segera masalah tempatan yang berbangkit.

“Selain itu, percanggahan kepentingan sesama parti komponen perlu dielakkan dan jangan cuba timbulkan isu yang baru sebaliknya mantapkan lagi jentera dan kerjasama yang terjalin sebelum ini.

“Kepimpinan BN juga tidak boleh mengambil mudah situasi yang berlaku di peringkat akar umbi dan menyelesaikan masalah yang wujud dengan kadar segera,” katanya beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");