Berita Hari Ini

Sokongan Masyarakat India Terhadap Pembangkang Merosot – Palanivel

Sokongan masyarakat India terhadap pakatan pembangkang kini merosot oleh kerana masyarakat itu telah dan akan terus menerima manfaat besar daripada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G.Palanivel berkata ini kerana, masyarakat itu menyedari bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perdana menteri mampu menentukan masa depan mereka.

Beliau berkata sokongan mereka semakin kukuh terhadap BN selepas mereka menerima faedah besar, khususnya di bidang pendidikan, program pembangunan perkhidmatan awam, ekonomi dan program sosial yang diterajui Najib.

“Masyarakat India kini lebih berpengetahuan dan lebih menyedari tentang keikhlasan kerajaan dalam membantu mereka.

“Kurangnya penyertaan kaum India di perhimpunan semalam merupakan bukti langsung mengenai kesedaran mereka tentang siapa sebenarnya yang boleh memberi khidmat bagi melindungi kebajikan mereka dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Ponggal di Kuil Maha Mariamman di Batu Caves, Kuala Lumpur, Ahad.

Palanivel menarik perhatian bahawa pelbagai inisiatif transformasi Najib merupakan usaha utama yang telah berjaya memenangi kembali sokongan masyarakat India, dan satu lagi kriteria kemenangan yang ada pada Najib ialah pendekatannya ‘turun padang’.

“Jumlah bantuan kepada kuil, sekolah Tamil dan bantuan kewangan pelbagai bentuk untuk usahawan India menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib khususnya, amat menyedari dan mengetahui tentang keperluan masyarakat berkenaan,” kata beliau.

Palanivel menggesa masyarakat India kekal bersatu padu bagi menentukan mereka mencapai kejayaan besar pada pilihan raya Umum ke-13.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");