Perak Hari Ini

Lagi 19,000 Hektar Kawasan Hutan Diwartakan Sebagai Hutan Simpan Kekal di Perak

Kerajaan Perak akan mewartakan 19,000 hektar kawasan hutan di sepanjang jalan raya Timur Barat dari Grik-Jeli sebagai hutan simpan kekal, sekaligus menjadi bukti terhadap keprihatinan kerajaan dalam usaha mengekal dan memelihara kehijauan bumi negeri itu, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bercakap kepada pemberita di Ipoh selepas menyaksikan majlis memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Yayasan Pulau Banding, Zambry berkata, pewartaan kawasan hutan di sepanjang laluan yang dianggarkan sejauh 60 kilometer (km) itu adalah satu pengorbanan besar di pihak kerajaan negeri.

“Pewartaan kawasan hutan seluas 19,000 hektar sebagai hutan simpan kekal ini adalah satu pengorbanan besar bagi pihak kerajaan negeri selain menunjukkan betapa seriusnya kita untuk memelihara alam sekitar dan juga kehijauan bumi Perak.

“Walaupun keputusan ini tidak menguntungkan untuk hari ini tetapi kita percaya ia akan beri keuntungan untuk jangka masa panjang dan generasi akan datang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, keputusan itu juga selaras dengan dasar kerajaan Persekutuan yang mewujudkan laluan khas haiwan dilindungi dan Perak adalah antara negeri utama yang turut terbabit dalam usaha murni berkenaan.

“Melalui pewartaan ini, laluan haiwan dilindungi khususnya gajah dan binatang liar lain dapat dikekalkan di masa akan datang,” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai MoU itu, Zambry berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Yayasan Pulau Banding untuk memelihara kehijauan alam sekitar di kawasan Tasik Banding dengan mewujudkan pembangunan yang lestari dan mapan.

Jelasnya lagi, yayasan berkenaan juga akan menjalankan penyelidikan di kawasan Hutan Belum-Temengor dan hak ke atas Harta Intelektual dan Paten (IP Rights) akan diberikan kepada kerajaan negeri bagi setiap penemuan baru yang dihasilkan melalui kegiatan berkenaan.

“MoU ini merupakan usaha sama antara kerajaan Perak dan Yayasan Pulau Banding untuk membangun, memelihara dan melaksanakan penyelidikan di kawasan Hutan Belum-Temengor.

“Sebelum ini, Emkay Group adalah satu-satunya syarikat yang membangunkan industri perhotelan di Pulau Banding dan berjaya menarik pelancong berkunjung ke kawasan berkenaan.

“Saya sendiri telah beberapa kali melawat kawasan berkenaan dan saya dapati usaha yang dilakukan syarikat berkenaan cukup baik dan kita di pihak kerajaan negeri beri sokongan penuh kepada usaha sedemikian,” katanya lagi.

Selain Yayasan Pulau Banding, kerajaan Perak tambahnya, turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk membangunkan kawasan Hutan Belum-Temengor dengan menyediakan kemudahan dan infrastruktur asas bagi memudahkan pelancong dan para penyelidik datang membuat kajian di kawasan berkenaan.

“Pembangunan di kawasan Hutan Belum-Temengor sedang berkembang dan saya difahamkan tempahan daripada pelancong luar untuk menginap di Banding Resort semakin meningkat.

“Ini menunjukkan industri pelancongan berasaskan kehijauan alam sekitar semakin berkembang dan Hutan Belum-Temengor mempunyai kelebihan itu untuk ditawarkan kepada para pelancong,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Zambry menyaksikan majlis menandatangani MoU yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan yang mewakili kerajaan Perak manakala Yayasan Pulau Banding diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.

Hadir sama, Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");