shadow

 

Pada tahun ini, sebanyak 250 buah kiosk telah disediakan oleh kerajaan negeri di bawah program yang dikenali sebagai Kiosk Aman Jaya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata program yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat merupakan salah satu produk hasil usaha Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuaan (YBU-DR) bertujuaan mengupayakan masyarakat tempatan.

“Kiosk-kiosk ini disediakan buat golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah yang dikenalpasti bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti perniagaan,” kata beliau.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program turun padang DUN Pengkalan Baharu di Arena Square, dekat Beruas, sebentar tadi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan dermasiswa, Borang Tawaran 5A dan elaun sara hidup nelayan tempatan.

Terdahulu, di sebelah pagi, Zambry sempat meluangkan bersarapan pagi dengan masyarakat Kampung Changkat Cermin dan kemudiannya melawat surau uzur di Kampung Tebuk Yan 2, dekat Pantai Remis.

Seterusnya, beliau bersama pegawai kanan kerajaan yang lain menghadiri majlis pecah tanah bangunan tambahan SJK C Tit Bin.

Sementara itu, Zambry berkata, berdasarkan sambutan yang begitu menggalakkan, beliau juga berhasrat untuk menambah jumlah pemberian kiosk kepada semua kaum pada masa hadapan.

“Ia dapat sambutan yang baik dan kita akan tambah lagi kiosk pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Pemberiaan kiosk berdasarkan pemohonan melalui e-Kasih itu melibatkan peruntukan bernilai RM3,000 hingga RM3,500 bagi setiap unit.

Sementara itu, seorang peniaga Suraida Abdullah, 49 memanjatkan rasa syukur di atas keprihatinan kerajaan negeri membekalkan kiosk yang baru dan lebih selesa.

“Saya sudah berniaga kuih-muih sejak 25 tahun lalu dan ini pertama kali menerima bantuan sebegini yang cukup mengembirakan hati saya,” katanya.

Bagi Mashitah Ismail, 48, tidak menyangkan gerai buruk yang digunakannya sebagai tempat berteduh ketika mencari rezeki kini digantikan dengan kiosk yang baru.

Katanya, keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa menitik beratkan golongan miskin dan berpendapatan rendah harus sentiasa dipuji.

“Saya tidak sangka akan menerima bantuan sebegini dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar yang bertungkus lumus membantu golongan seperti kami,” tambahnya.

 

 

Comments

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>