Perak Hari Ini

Dr. Zambry beri empat nasihat untuk ketua kampung

Sebagai barisan hadapan kerajaan, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan, semua ketua kampung dan tok sidang di negeri Perak mempunyai tanguung jawab berat sebagai juru bicara rakyat kepada kerajaan dan sebaliknya. Untuk membantu mereka menjalankan tugas dengan lebih licin beliau telah  menggariskan beberapa panduan yang boleh mereka praktikkan.

Perkara itu dijelaskan oleh Dr. Zambry pada satu sidang media selepas majlis penyampaian watikah perlantikan ketua kampung di Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Perkara pertama yang Dr. Zambry gariskan untuk ketua-ketua kampung adalah kepentingan mereka melaksanakan tanggung jawab mereka sebagai pemimpin setempat. Ini mustahak diingatkan, tegas beliau, kerana mereka mewakili rakyat di kampung pada kerajaan dan sebaliknya.

“Ketua kampung adalah juru bicara, berada di tengah-tengah antara rakyat di kampung dengan kerajaan. Mereka mewakili kedua-dua belah pihak; menyampaikan aspirasi rakyat kepada kerajaan, dan disebaliknya, menjelaskan dasar-dasar kerajaaan kepada rakyat,” kata Dr. Zambry.

Seterusnya, Menteri Besar itu menjelaskan, ketua kampung perlu mempunyai sifat peramah dan tidak sombong. Ini tidak kurang pentingnya kerana mereka banyak berinteraksi dengan orang kampung.

“Jika bersarapan pagi di kedai kopi dapat mendekatkan diri dengan orang kampung, sila teruskan. Disamping itu, sebagai ketua kampung mereka harus mengepalai segala aktiviti di tempat mereka, tak kiralah kenduri kahwin atau pun menguruskan jenazah,” kata Dr. Zambry sambil menambah janganlah ketua kampung mempunyai sifat pemalu sampai orang kampung tidak kenal akan mereka.

Dr. Zambry menambah, rasa hormat masyarakat setempat terhadap ketua kampung bukanlah kerana wang ringgit, tetapi budi yang ditabur oleh mereka.

Ketua kampung juga, tegas Menteri Besar, perlu mempunyai sifat rahmah atau kasihan. Ini kerana mereka perlu sentiasa menyentuh jiwa rakyat setempat untuk lebih berkesan di dalam menjalankan tugas.

Tidak kurang juga pentingnya bagi seorang ketua kampung adalah sifat rajin untuk menguruskan hal ehwal kampungnya. Dr. Zambry menjelaskan, apa jua masalah rakyat di tempat mereka haruslah diselesaikan dengan secepat mungkin dan secara berhemah.

“Kerja ketua kampung bukan seperti orang kerja pejabat biasa, khidmat yang diberikan adalah 24 jam. Adalah bagus bagi ketua kampung untuk membawa cop mereka ke mana saja mereka pergi, kerana kita tak boleh jangka bila ada ornag yang memerlukan pengesahan borang dan sebagainya daripada ketua kampung,” kata Dr. Zambry.

Sungguh pun begitu, Dr. Zambry juga mengingatkan kepada ketua kampung yang dapat memenuhi ciri-ciri ketua kampung yang baik atau sudah tidak berupaya hendaklah menjalan tanggung jawab agar melepaskan jawatan mereka kepada yang lebih berkemampuan.

“Kita tidak mahu menerima laporan daripada mana-mana yang mengatakan ketua kampung tidak menjalankan tugas, atau majoriti penduduk benci kepada ketua kampung mereka. Jika ini berlaku, adalah tidak wajar mereka terus memegang jawatan ketua kampung itu dan berhentilah secara suka rela,” kata Dr. Zambry.

Disamping itu, beliau menjelaskan, ketua kampung yang tidak efektif adalah liabiliti, baik kepada kerajaan mahu pun masyarakat setempat.

Beliau juga menggesa ketua kampung supaya bertindak sebagai satu pasukan bersama dengan Pegawai-pegawai Dawerah, ketua-ketua jabtan kerajaan, ADUN dan ahli-ahli parlimen supaya semua perancangan dan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

“Semua nasihat ini ada kaitan dengan dasar 3P yang kerajaan negeri jalankan, iaitu, turun padang, perasaan (memahami permasalahan), dan penyelesaian,” kata Dr. Zambry.

Menteri Besar juga menggesa media agar tidak memberi persepsi negatif terhadap institusi ketua kampung kerana ia adalah penghubung penting antara masyarakat dan kerajaan, dan ianya sebahagian daripada budaya di negeri ini sejak turun temurun.

“Tidak ada salahnya untuk mengkritik individu yang tersalah langkah, tetapi janganlah memburukkan institusi itu sendiri kerana ia amat penting kepada masyarakat,” kata Dr. Zambry.

Pada majlis hari ini, seramai 818 orang ketua kampung daripada 10 daerah seluruh Perak, menerima watikah perlantikan mereka daripada kerajaan negeri bagi penggal 2011/2012. Lantikan mereka berkuat kuasa 1 Januari 2011 lepas dan tamat pada 31 Disember 2012.

Bermula tahun ini ketua kampung di Perak menerima elaun RM750 daripada kerajaan persekutuan, manakala kerajaan negeri pula menambah RM50 kepada jumlah itu, di samping RM150 elaun bil telefon bimbit untuk jumlah besar bulanan sebanyak RM950.

Turut hadir di majlis itu adalah barisan Exco negeri, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai daerah, yang dipertua kerajaan tempatan, dan Orang-orang Besar Jajahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");