Isu Panas

Najib: BN tidak harus terlalu selesa hadapi PRU13

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya akan menggandakan usaha dan memastikan semua urusan pentadbirannya dilakukan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Perdana Menteri mengingatkan semua pimpinan dan ahli BN supaya tidak memandang rendah keupayaan pembangkang dalam usaha meraih sokongan rakyat.

“Kita tidak mahu sebarang sikap terlalu selesa dan juga terlalu yakin seolah-olah tidak ada apa yang boleh menggugat kita.

“Biarpun banyak petanda bahawa sokongan bertambah lebih positif kepada BN, tapi kita pun sedar bahawa dalam masa pilihan raya ini, banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan kesudahannya,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, malam tadi.

Pengerusi BN ini berkata demikian mengulas lanjut kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kemenangan tipis BN sebagai kemenangan ‘kosong’ apabila sokongan dan undian semakin merosot meskipun kekal menang pada PRU13.

Sementara itu, mengulas perjalanan proses siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung isu pendatang tanpa izin di Sabah, beliau berkata BN sepatutnya menerima pujian kerana mengambil inisiatif melaksanakan siasatan terbabit.

“Kita belum sampai kepada hasil siasatan. Sebanyak 167 saksi akan dipanggil. Jadi jangan terus kepada kesimpulan.

“Biar suruhanjaya itu membuat siasatan, lakukan tugas mereka, beri mereka peluang menjalankannya,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Mengulas lanjut pengakuan Dr Mahathir berhubung pemberian kad pengenalan, Najib berkata selagi ia dibuat mengikut undang-undang, ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Seperti yang Tun Mahathir katakan bahawa satu juta kerakyatan diberi kepada (golongan) Cina Malaysia. Anda tahu betapa ramai (masyarakat) India Malaysia yang turut dapat kerakyatan,” katanya.

Sambil menyifatkan pemberian kad pengenalan itu bukan isu besar, Najib tidak melihat pendedahan dalam RCI akan membawa kesan yang buruk kepada BN dan pentadbirannya.

“Selagi ia dilakukan mengikut undang-undang, ia bukan isu yang besar.

“Saya fikir, selagi mana orang tidak menyebarkannya dengan cara yang salah, terimalah hakikat bahawa ini adalah keikhlasan kami untuk menyelesaikan masalah ini yang menjadi kebimbangan orang Sabah selama ini,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");