Perak Hari Ini

Maulidur Rasul Disambut Sederhana Di Perak


Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” diraikan secara sederhana di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Jaya Utara, dekat Trolak dengan keberangkatan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Turut mencemar duli ke majlis tersebut Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Nayan.

Majlis dimulakan dengan alunan kalimah suci Al-Quran yang dibaca oleh Tuan Haji Radzi Kamarul Hailan, persembahan Qasidah Kumpulan Fauzan yang dijemput khas dari Pusat Pengajian Al-Barakah, Manjoi.

Raja Dr Nazrin turut berkenan menyampaikan lima anugerah khas Maulidur Rasul 1423/2013 iaitu Anugerah Keluarga Mithali, Anugerah Pendakwah, Anugerah Pendidik, Anugerah Penguatkuasa Agama dan Anugerah Imam, Bilal dan Siak Masjid kepada menerima.

Pengerusi Lembaga Sekolah Menengah Agama Al- Ulum, Bagan Datoh, Mohamad Arif Mohd Yasin antara lima tokoh yang dipilih menerima anugerah khas sempena Maulidur Rasul.

Dinobat sebagai Tokoh Pendidikan, Mohamad Arif dipilih berdasarkan jasa, sumbangan dan ketokohan beliau mendidik anak bangsa.

Beliau menyifatkan anugerah pendidikan yang diterima pada hari ini sebagai penghargaan buat dirinya setelah mengharungi pelbagai cabaran memberi pendidikan.

“Saya amat gembira dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana mendidik adalah usaha Nabi Muhammad S.A.W yang diteruskan bagi menyeru manusia ke jalan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kebijaksanaan dan pengurusan emosi yang baik merupakan cabaran sebagai pendidik dalam memastikan ilmu yang cuba disampaikan diterima baik khususnya kepada generasi muda masa kini.

“Jika kita mengajar kita harus membawa psikologi masyarakat, belia dan kanak-kanak supaya kita tidak terlalu emosi ketika mendidik masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Danyal Ghazali, 70, dipilih menjadi Tokoh Keluarga Mithali setelah mengambil kira kejayaan beliau membesarkan sebelas anaknya iaitu dua lelaki dan sembilan perempuan sehingga berjaya sejak mengambil keputusan berhenti kerja pada umur 33 tahun.

Menurut beliau, keputusan untuk berhenti kerja dan membesarkan anak-anaknya sendiri merupakan tindakan terbaik yang tidak pernah disesali olehnya.

Ini kerana, beliau melihat masalah keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang menular pada masa kini berpunca daripada sikap ibu bapa yang seringkali ‘memperdagangkan’ anak mereka.

“Ibu-bapa lebih suka anak mereka diasuh oleh orang gaji dan ini menyebabkan anak mereka sukar untuk didampingi,” katanya.

Oleh itu, didikan ibu bapa terhadap anak-anak merupakan faktor utama yang membawa kepada keharmonian dan kemesraaan yang terjalin dalam sesebuah keluarga, katanya.

Malah, pengalaman demi pengalaman yang diperolehi dalam kehidupan antara rahsia hingga beliau terpilih untuk menerima anugerah tersebut.

Pada majlis itu, penerima anugerah masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, hadiah iringan, plak serta sijil penghargaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");