shadow

Selepas berteka-teki mengenai hubungan cintanya, pelakon Fizo Omar akhirnya mengesahkan sedang berkawan dengan seorang wanita berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Haas Jaafar.

Fizo, 28, berkata, mereka telah berkenalan selama beberapa tahun sebagai rakan biasa dan baru sahaja menjalinkan hubungan istimewa sejak tiga bulan lalu.

“Saya kalau boleh tidak mahu terlalu mendedahkan hubungan cinta ini tetapi saya mengaku memang sekarang saya sedang bercinta dengan Haas.

“Bagaimanapun hubungan ini masih lagi diperingkat awal dan kami sedang mengenali hati budi masing-masing,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke 52 Datuk Shah Rezza di sini pada Ahad.

Fizo hadir ke majlis berkenaan bersama kekasihnya itu dan tampil mengenakan pakaian dari warna sedondon iaitu putih.

Dalam pada itu, Fizo berkata, sikap memahami wanita berasal dari Kedah itu telah memikat hatinya selain mempunyai pelbagai persamaan membuatkan mereka serasi.

“Buat masa ini terlalu awal untuk bercakap soal kahwin tetapi saya selesa dengan Haas yang cukup sekepala dengan saya. Soal jodoh saya letakkan kepada takdir,” jelasnya.

Sementara itu, Haas ketika ditanya mengenai Fizo memberitahu hubungan rapat lelaki itu dengan keluarganya telah memikat hatinya terhadap pelakon itu.

“Fizo sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan sikap tanggungjawabnya telah menambat hati saya malah dia sangat memahami dan ringkas dalam pelbagai perkara,” jelasnya yang masih menuntut di Universiti Lim Kok Wing dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan.

Tambah Haas, dia tidak gentar dengan kemungkinan hubungan mereka akan menjadi perhatian dunia hiburan kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Fizo.

“Sebelum ini apabila timbul apa-apa perkara mellibatkannya, dia akan terangkan kepada saya situasi sebenar dan saya pula jenis yang tidak kisah dan faham kerjayanya sebagai pelakon,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fizo memberitahu perniagaan Hot Burger yang diusahakan sejak beberapa bulan lalu berjaya mengembangkan cawangan sehingga 30 buah gerai dan akan terus memperluaskannya pada tahun ini.

“Alhamdulillah sambutan cukup memberangsangkan dan semakin ramai belia yang menunjukkan minat untuk berniaga Hot Burger di kawasan mereka.

“Cuma timbul sedikit salah faham apabila ramai yang menyangka saya duta kepada jenama itu sebaliknya saya adalah pemiliknya,” jelasnya.

Masih aktif berlakon, Fizo berkata, dia bakal muncul dengan sebuah filem bertajuk Isyarat Cinta selain baru selesai menjalani penggambaran drama Surat Dari Langit Biru dan telefilem Nur Sarah.

-mStar

Comments

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>