shadow

PETALING JAYA: Pemilik senapang warga Lubnan yang tiba-tiba meletup hingga mengakibatkan wartawan Malaysia, Claudia Theophilus terbunuh pada Sabtu di Baakleen, Lubnan masih ditahan oleh polis tempatan yang sedang menjalankan soal siasat ke atas suspek bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Lelaki warga Lubnan itu dilaporkan memberitahu pihak polis bahawa dia sedang mengeluarkan peluru yang tersangkut dalam senapangnya dan ketika itulah senapang berkenaan meletup secara tiba-tiba.

Theophilus dikejarkan ke hospital di Baakleen bagaimanapun beliau gagal diselamatkan.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Illago Karuppannan mengesahkan bahawa lelaki yang memiliki senapang berkenaan masih berada dalam lokap polis di Baakleen.

Pihak berkuasa Lubnan telah memaklumkan perkara berkenaan kepada wakil kedutaan.

“Kami telah memberikan maklumat tersebut kepada Wisma Putra dan mereka telah memaklumkan kepada keluarga mendiang. Kami sentiasa bekerjasama dengan ahli keluarga mangsa dan akan membantu mereka dalam apa jua keadaan,” katanya.

Ilango turut memaklumkan, Theophilus pernah menuntut di sekolah berasrama yang sama dengan beliau, iaitu Sekolah Menengah Sains Negeri Sembilan yang kemudiannya dinamakan semula, Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Saya sangat sedih. Saya merupakan kumpulan perintis di sekolah berkenaan pada tahun 1973-1977 sementara Claudia pula menuntut di sana pada 1984.

“Rakan-rakannya menyifatkan mendiang sebagai seorang pelajar yang ‘dinamik dan olahragawati’,” katanya.

Bekas Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) The Star, Selvayoga Selvaretnam, yang pernah bekerjasama dengan Theophilus dalam isu kebebasan berkata, kematian bekas ahli NUJ akhbar The Sun memberi tamparan hebat kepada keluarganya.

“Dia merupakan tulang belakang keluarga dan seorang diri menghadapi masalah perubatan serius yang dihadapi oleh ahli keluarganya.

“Masalah kewangan sentiasa menjadi isu utama kerana dia merupakan individu tunggal yang mencari nafkah untuk keluarga,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila ibu Theophilus baru sahaja menghidap strok manakala seorang abangnya yang telah berkahwin terlantar sakit selepas terlibat dalam kemalangan dua tahun lalu.

Claudia, 42, petugas di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu, 2.30 pagi waktu Lubnan.

Sebelum itu mendiang pernah bekerja sebagai wartawan di akhbar The Sun dan portal berita, Malaysiakini.

Laporan media menyebut mendiang dipercayai ketika itu sedang melakukan kunjungan tiga hari ke Baakleen, Lubnan bersama dua rakannya yang merupakan rakyat negara itu.

Sumber rapat dengan keluarganya memberitahu majikannya, Al-Jazeera akan menanggung sepenuhnya kos pembiayaan membawa pulang mayat Theophilus dari Beirut ke Kuala Lumpur bagi upacara pengebumian di Seremban.

Kakak mangsa, Dora dan seorang rakannya dijangka berlepas ke Beirut pada Selasa.

“Saya fikir paling cepat mayat mendian akan dapat di bawa pulang mungkin pada hari Sabtu,” kata sumber berkenaan.

- THE STAR

Comments

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>