Perak Hari Ini

Fokus Parlimen Tapah: Masalah Kesesakan Lalu Lintas Di Pekan Tapah Perlu Perhatian Segera

Masalah kesesakan lalu lintas di jalan utama menghubungkan pekan Tapah-Bidor dikenalpasti antara isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan negeri dan Pusat.

Pengerusi BN Parlimen Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan, berkata beliau kini sedang bekerjasama erat kepada Pejabat Daerah Batang Padang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di pekan Tapah terutamanya di waktu puncak.

Katanya, masalah yang berlarutan sekian lama itu sudah dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak untuk tindakan sewajarnya baik di peringkat kerajaan negeri atau Pusat.

“Saya bersama Ahli Parlimen dan ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon sedang berusaha menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di jalan utama menghubungkan Tapah-Bidor terutamanya di waktu puncak.

“Selain dibangkitkan dalam sidang DUN, masalah juga sudah dipanjangkan kepada Menteri Kerja Raya dan saya amat berharap masalah kesesakan jalan utama ini dapat diselesaikan demi faedah dan keselesaan pengguna terutamanya di Tapah ini sendiri.

“Keadaan jalan raya utama yang sedia ada tidak boleh dilebarkan sebaliknya kita mencadangkan kepada JKR membina jalan pintas untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada Peraktoday.com.

Dalam perkembangan berkaitan, Samsudin yang juga ADUN Ayer Kuning, berkata masalah pemilikan tanah bekas lombong di kawasan itu sudah selesai 100 peratus hasil kerjasama baik yang diberikan oleh Pejabat Tanah dan Daerah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Tambahnya, penduduk yang menduduki tanah khususnya bekas lombong sejak 20 hingga 30 tahun lalu sudah mendapat hak milik tanah masing-masing.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Perak dan Pegawai Daerah yang begitu prihatin terhadap masalah rakyat dan ini antara isu yang kerajaan BN berjaya selesaikan di Parlimen Tapah,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Hang Soon yang dilantik sebagai wakil rakyat Chenderiang menjelaskan, BN mendapat sokongan baik daripada rakyat di kawasan itu.

Katanya, kerja keras wakil rakyat dan Ahli Parlimen dalam menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira agama dan bangsa menyebabkan sokongan terhadap BN semakin meningkat.

“Dalam tempoh hampir lima tahun BN memerintah Perak, banyak masalah rakyat DUN Chenderiang berjaya diselesaikan hasil kerjasama erat antara wakil rakyat dan Ahli Parlimen Tapah.

“Antara usaha yang sudah dan sedang kita laksanakan ialah merizabkan tanah Orang Asli yang mana proses ini akan berterusan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");