Perak Hari Ini

BN Komited Bangunkan Lenggong: DS Zambry

Lenggong sebuah pekan kecil yang terkenal dengan penemuan ‘Perak Man’, rangka manusia purba paling lengkap pernah ditemui bukanlah satu nama asing bagi penduduk di Perak apatah lagi masyarakat di kawasan sekitarnya.

Meskipun terletak di kawasan pedalaman, kerajaan negeri sentiasa komited membawa pembangunan untuk dinikmati penduduk selain mengimbangi pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Lenggong merupakan sebuah daerah kecil yang berpotensi untuk maju berdasarkan prasarana yang semakin pesat dibangunkan.

“Melalui projek prasarana itu, Lenggong kini memiliki Pusat Kesihatan Kecil dengan kos bernilai hampir RM30 juta di mana penduduk Lenggong tidak perlu ke Grik atau Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan.

“Selain pusat kesihatan, Pejabat Daerah Kecil Lenggong yang dibina dengan kos RM4 juta telah siap hampir 90 peratus dan kini menunggu masa untuk digunakan selain pejabat agama juga dibina dengan nilai projek lebih RM2 juta,” katanya.

Menteri Besar bercakap demikian kepada pemberita selepas menghadiri Maljis Makan Tengah Hari dan Penyampaian Notis 5A dalam Lawatan Walkabout Parlimen Lenggong, hari ini.

Menurut beliau, peningkatan prasarana di kawasan pekan kecil Lenggong itu dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan di luar bandar.

“Kita punyai Sekolah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan terkini Kolej Kemahiran Tinggi MARA yang bakal menampung 3,000 pelajar dan kakitangan.

“Ini bermakna akan berlaku pertambahan penduduk di kawasan ini yang sekaligus akan memajukan pekan kecil ini,” jelas Menteri Besar yang turut meluluskan peruntukan bernilai RM100,000 dan tambahan RM180,000 untuk tujuan rekreasi dan projek landskap di pekan Lenggong.

Selain meningkatkan kemudahan penduduk, kerajaan negeri turut memberi fokus kepada tapak warisan Lembah Lenggong yang diraikan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia tahun lalu.

“Hampir RM36 juta peruntukan disediakan dan ia salah satu perkembangan yang baik dan pencapaian besar kerajaan yang serius untuk membangunkan Lenggong sebagai pusat arkeologi,” katanya.

Bersama Kementerian Industri Asas Tani, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap sektor pertanian dengan membangunkan projek Lenggong Agrovalley di Bukit Sapi.

“Tapak seluas 5,000 ekar diluluskan untuk dibangunkan sebagai salah satu pusat pengeluaran makanan dalam negara,” katanya lagi.

Projek di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pertanian  Negeri Perak (SADC) itu turut melibatkan pembangunan sektor penternakan dan agro-pelancongan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");