Perak Hari Ini

PAS Kembali Bertanding Di DUN Changkat Jering, Nizar Terpilih Sebagai Calon

PAS Perak secara rasminya mengumumkan kembali bertanding di DUN Changkat Jering dengan menyenaraikan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Pengumuman yang dibuat sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain itu dalam satu ceramah di markas PAS Ayer Kuning, dekat Tapah malam tadi sekaligus menamatkan spekulasi calon DUN Changkat Jering yang mana pada pilihan raya 2008 ditandingi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Osman Jailu.

Sebelum ini, berlaku polemik pencalonan di kerusi DUN Changkat yang ditandingi PKR pada 2008 di mana beberapa blog tempatan mencadangkan Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang bertanding di DUN Changkat Jering.

Pada Rabu lalu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss pula dengan beraninya mengumumkan Nizar sebagai calon Pas di kawasan DUN Changkat Jering dalam ceramah Suara Anak Muda di Batu 6, Changkat Jering, Bukit Gantang.

Sebagai respon, Nizar yang ditanya mengenai pengumuman itu menganggap ia sebagai tindakan nakal Pemuda PAS Perak.

Dalam pengumuman itu juga, Abu Bakar berkata, badan perhubungan PAS yang bermesyuarat semalam memutuskan PAS kembali bertanding di N14, iaitu kerusi DUN Changkat Jering dengan menyenaraikan Nizar sebagai calon mereka.

“Keputusan ini juga turut mendapat perkenaan Setiausaha Agung parti dan saya berharap tuan puan yang berada di kawasan dan Parlimen Bukit Gantang khususnya di DUN Changkat Jering akan dapat memberi sokongan padu kepada beliau (Nizar) pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Berdasarkan rekod, kerusi DUN Changkat Jering sehingga 2004 diwakili oleh PAS.

Bagaimanapun pada tahun 2008, PAS memberi laluan kepada PKR untuk meletakkan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-12 dan menang menewaskan calon Umno.

Malangnya, pada 2009, penyandangnya, Kapten (B) Mohd Osman Jailu bertindak keluar parti dan menjadi Adun Bebas dengan menyokong Barisan Nasional (BN) bersama-sama Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Datuk Hee Yit Foong.

Disebabkan tindakan itu, kerajaan negeri yang dibentuk Pakatan Rakyat (PR) ketika itu hilang majoriti dan diambil alih oleh BN sehingga sekarang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");