Perak Hari Ini

Masjid Baru, Jambatan Bernilai RM6.3 Juta Bakal Manfaatkan Rakyat Grik


Seiring dengan slogan Janji Ditepati, rakyat Grik bakal menikmati dua lagi projek pembangunan yang bernilai hampir RM9 juta yang dijangka siap dalam dua tahun akan datang.

Sebuah masjid baru di Batu 4, Jlan Grik-Kulim yang bernilai RM2.4 juta akan dibina atas tapak yang berkeluasan kira-kira dua ekar manakala sebuah jambatan baru yang merentasi Sungai Perak ke Tanjung Rimbun Kampung Batu 6, Bandariang, dekat Grik turut dibina, sekaligus memberi manfaat kepada lebih 1,600 penduduk di kawasan sekitarnya.

Kerajaan negeri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM300,000 untuk kerja pembinaan masjid baru itu yang sememangnya dinanti-nantikan umat Islam di kawasan berkenaan.

Sejak 2001 lagi, umat Islam di kawasan berkenaan terpaksa menumpang di surau SM Teknik Grik untuk mengerjakan solat Jumaat dalam keadaan yang serba kekurangan.

Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Batu 4, Sobari Hussin, berkata sebuah masjid baru diperlukan untuk menampung bilangan jemaah yang semakin meningkat saban tahun.

Pembangunan beberapa taman perumahan di sekitar kawasan itu katanya, menyumbang kepada pertambahan penduduk sedangkan surau yang digunakan untuk solat Jumaat hanya boleh menampung antara 300 hingga 400 jemaah pada satu-satu masa.

“Sejak 2001 lagi, umat Islam di sini terpaksa menumpang surau SM Teknik Grik untuk mengerjakan solat Jumaat.

“Hasil perjuangan penduduk, kerajaan meluluskan peruntukan RM2.4 juta untuk membina masjid baru ini dan sejumlah RM400,000 dibelanjakan untuk menambak tapak projek ini yang dijangka dimulakan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Sementara itu, projek jambatan baru sepanjang 100 meter yang dibina dengan konsep tanpa tiang merentasi Sungai Perak itu turut memberi manfaat kepada kira-kira 100 penduduk Orang Asli yang menetap di Kampung Chenawing.

Projek itu juga dijangka dapat membantu 1,600 peserta yang mengusahakan tanah di kawasan seluas 4,000 ekar yang terletak di seberang Sungai Perak.

Dibina dengan peruntukan RM6.3 juta, projek itu dimulakan pada Februari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2015 dengan ZA (Malaysia) dilantik sebagai kontraktor projek.

Terdahulu, Zambry dalam ucapannya berkata, kedua-dua projek yang dilaksanakan kerajaan itu membuktikan BN sentiasa membela rakyat dan berpegang kepada janji, sekaligus bertepatan dengan slogan Janji Ditepati yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");