Jenayah

Jangan bawa senjata tajam semasa pasang poster dan bendera: Polis

Polis mengingatkan pekerja parti yang ditugas memasang bendera dan poster parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini agar tidak membawa senjata tajam seperti parang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mereka yang didapati membawa senjata tajam di tempat awam boleh dikenakan tindakan termasuk ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

“Tidak ada masalah untuk pasang bendera atau poster tetapi jangan bawa parang, walau apapun alasan ia tetap menjadi kesalahan bila dibawa (parang) di tempat awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Selangor, di Shah Alam, Isnin.

Beliau berkata, sehingga kini lima individu di Selangor sudah dituduh di mahkamah kerana melakukan kesalahan berkaitan PRU13.

Empat daripadanya ditahan di Hulu Selangor kerana kesalahan membawa senjata tajam manakala seorang lagi ditahan di Bukit Puchong, Puchong mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam pergaduhan.

Tun Hisan berkata, polis menerima purata dua aduan berkaitan perbuatan khianat sejak seminggu lepas, terutamanya membabitkan laporan merosakkan bendera parti.

“Kita menyiasat dan meneliti setiap laporan yang diterima dan meminta semua pihak supaya mengutamakan suasana aman sepanjang perjalanan PRU13,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua parti politik supaya mendapatkan permit ceramah sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan perkara tidak diingini dan memudahkan polis mengatur anggota bagi mengawal keadaan dan trafik.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");