Perak Hari Ini

35 Muka Baru Bertanding Kerusi DUN, Zambry Kekal Di Pangkor

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebentar tadi mengumumkan senarai calon Barisan Nasional (BN) Perak yang bertanding di 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Senarai kali ini menampilkan 35 muka baru atau 59.3 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi DUN yang dipertandingkan manakala lima muka baru turut diperkenalkan bagi mengisi kerusi Parlimen.

Selain itu, 11 lagi calon muda akan membawa cabaran BN Perak dalam PRU-13 termasuklah Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Muamar Gaffadi Jamaluddin yang bertanding di Parlimen Parit Buntar manakala calon termuda MCA, Daniel Wo Wai How yang baru berumur 25 tahun menggalas tanggungjawab bertanding di DUN Keranji.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga penyandang kerusi DUN Pangkor kekal mempertahankan kerusi itu untuk tiga penggal berturut-turut.

Tidak ketinggalan, lapan lagi kerusi DUN akan diwakili calon wanita termasuklah Ketua Puteri Perak, Salbiah Mohamed yang bertanding di DUN Temengor, Datuk Hamidah Osman (Sungai Rapat), Datuk Siti Salmah Mat Jusak (Lubuk Merbau) dan Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah).

Untuk kerusi Parlimen pula, antara muka lama yang dikekalkan termasuklah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang kekal bertanding di Parlimen Lumut, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz (Parlimen Padang Rengas), Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Parlimen Tambun), Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Parlimen Bagan Datoh) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong (Parlimen Kampar).

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe bakal bertanding di Parlimen Taiping manakala Datuk Mah Siew Keong pula kekal bertanding di Parlimen Teluk Intan.

Presiden PPP, Datuk M Kayveas pula akan bertanding kerusi DUN Pasir Berdamar selepas mendapat persetujuan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Pertukaran kerusi turut berlaku membabitkan beberapa kerusi tradisi UMNO antaranya penyandang DUN Trong, Datuk Rosli Husin berpindah ke DUN Changkat Jering manakala Siti Salmah yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Chenderoh akan bertanding di DUN Lubuk Merbau.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari, Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan muka lama seperti Adun Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar dan Adun Lintang, Datuk Ahamed Pakeh Adam antara mereka yang digugurkan daripada senarai calon kali ini.

Sebelum ini, penyandang kerusi DUN Pengkalan Hulu, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, ADUN Batu Kurau, Datuk Najmuddin Elias dan ADUN Manjoi, Datuk Nadzri Ismail mengumumkan tidak mempertahankan kerusi-kerusi masing-masing untuk memberi laluan kepada muka baru pada PRU-13.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");