Perak Hari Ini

DS Zambry Yakin Rakyat Pangkor Terus Sokong BN

Barisan Nasional (BN) Perak yakin calon kerusi Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha dapat meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sekaligus mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya 2008.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada tahap sokongan yang ditunjukkan rakyat kepada BN sejak empat tahun yang lalu.

“Sambutan rakyat dari pelbagai kaum amat memberangsangkan sekali dan kita yakin Cho Ha dapat meraih kemenangan pada PRU-13,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Tranquillity Pangkor di jeti Kampung Sungai Pinang Kechil, dekat Pangkor.

Terdahulu, Zambry yang ditemani Cho Ha menjayakan program walkabout di Kampung Teluk Dalam dan Kampung Sungai Pinang Kechil sebagai usaha kempen PRU-13 yang sudah memasuki minggu kedua.

Dalam ucapannya di Kampung Teluk Dalam, Zambry yang bertanding di kerusi DUN Pangkor, berkata rakyat perlu memberi kemenangan bukan sahaja kepada calon yang bertanding di kerusi DUN tetapi juga kerusi Parlimen.

“Sokong saya di kerusi DUN Pangkor dan sokong juga Cho Ha yang bertanding di kerusi Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Cho Ha pula berkata, rakyat di kawasan itu perlu memberi sokongan padu kepada Zambry bagi memastikan beliau terus kekal sebagai Menteri Perak.

“Dalam tempoh empat tahun mengambil alih Perak, banyak pembangunan berjaya dilaksanakan oleh Menteri Besar termasuklah menyediakan kemudahan infrastruktur, memajukan sektor pelancongan serta berjaya menarik pelaburan di kawasan ini,” kata beliau lagi.

Penduduk, Sariah Ahmad, berkata tiada sebab mengapa beliau perlu menukar kerajaan yang memerintah hari ini.

Katanya, ini kerana kerajaan BN berjaya membawa pembangunan kepada segenap lapisan masyarakat tidak kira di bandar ataupun luar bandar.

“Rakyat terutamanya pengundi muda perlu berfikiran terbuka dan berpandangan jauh serta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang ingin menjatuhkan kerajaan BN.

“Jika rakyat ingin terus menikmati keamanan dan kemajuan, mereka tiada pilihan lain kecuali menyokong calon BN pada PRU-13,” kata bekas pekerja hotel itu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");