Membawang Hari Ini

Jordana Brewster kembali dengan ‘The Fast and The Furios 6’

Nama aktres kelahiran Brazil ini mungkin tidak sepopular Drew Barrymore, Cameron Diaz mahupun Scarlett Johansson. Pun begitu dia amat dikenali di kalangan peminat seni Hollywood.

Bukan sahaja kerana wajahnya yang eksotik, malah bakatnya dalam bidang lakonan juga meletakkan dia antara aktres yang sering menerima pujian pengarah yang bekerja dengannya.

Memulakan kariernya dalam bidang seni ketika berusia 18 tahun, dia mencuri tumpuan pengarah drama dan filem apabila muncul menerusi sebuah opera berjudul All My Children.

Kemudian, dia diberi peranan dalam opera As The World Turns bagi watak Nikki Munson dan dicalonkan bagi kategori Outstanding Teen Performer di Soap Opera Digest Award.

Menariknya selepas itu, dia diberi kepercayaan oleh pengarah membintangi filem pertamanya yang mengangkat genre seram dan sains fiksyen sebagai Delilah Profitt iaitu The Faculty.

Menjadi Profitt memerlukan pelakon berusia 33 tahun ini memainkan peranan sebagai seorang editor surat khabar pelajar yang popular.

Kerana lakonan hebatnya sebagai Profitt, ia telah mengangkat pemilik nama Jordana Brewster ini menjadi kegemaran pengarah dan pengkritik filem Hollywood.

Malah filem ini turut mendapat kutipan tertinggi (box-office) sepanjang ia ditayangkan.

Selain itu, teraju utama drama bersiri popular, The 60s ini amat sinonim dengan filem bergenre seram, thriller dan aksi seperti D.E.B.S dan The Texas Chainsaw Massacre: The Beginning.

Penangan Mia Toretto

Bagi peminat setia filem aksi The Fast and The Furious, pasti wajah manis dan menggoda Brewster sentiasa bermain di mata mereka.

Di awal kemunculannya dengan filem box-office ini sekitar tahun 2001, bintang filem Annapolis ini sudah pun menawan pengikut sekuel filem ini.

Bergelar Mia Toretto iaitu adik kepada teraju utama Dominic Toretto lakonan Vin Diesel dan kekasih kepada Brian O’Conner lakonan Paul Walker, membuatkan dirinya menjadi perhatian dalam filem ini.

Bahkan aksi bersahajanya ketika memandu turut mendapat respons baik daripada penonton.

Meskipun, personalitinya berbeza dari semasa ke semasa, namun dia dilihat berjaya menjiwainya dengan baik.

Adakala dia kelihatan garang apabila berdebat mengenai kelakuan abangnya, adakala dia sedih mengenang nasibnya dan abangnya dan ada suatu ketika, dia kelihatan sangat manis dan romantis apabila bersama O’Connor.

Dek kerana itu, wataknya tidak pernah beralih tangan kepada pelakon wanita lain dan sehingga ke sekeul terbaru filem ini, The Fast and The Furious 6, dia masih menjadi Mia Toretto.

Kemunculan semula

Peluang muncul kembali bersama The Fast and The Furious 6 pastinya dinantikan oleh Brewster.

Akuinya, apabila mendapat tahu penggambaran filem ini dimulakan, dia adalah insan yang paling gembira.

“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya beraksi dalam sekuel terbaru ini.

“Yang pasti, saya telah melakukan yang terbaik lebih-lebih lagi ia memerlukan saya bekerjasama sekali lagi bersama Diesel dan Walker,” katanya.

Sedikit mengenai The Fast and The Furious 6, ia memulakan penggambaran sekitar tahun 2012.

Mendapat sentuhan pengarah Justin Lin, filem ini mengambil London, Canary Islands, Glasgow dan Los Angeles sebagai lokasi penggambaran.

Dalam pada itu, ia masih mengekalkan barisan teraju utama seperti Diesel, Walker dan Dwayne Johnson selain dibintangi Tyrese Gibson, Michelle Rodriguez, Sung Kang, Chris Bridges, Luke Evans dan Gina Carano.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");